BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Maaf ingin bertanya mengenai hukum memakai:

1.Magnetic lash (lash tiruan yang boleh dipakai dan ditanggalkan dengan mudah)

2. Hukum memakai kuku palsu yang ditampal menggunakan gam dan hukum memakai nail polish

Ingin bertanya terlebih dahulu kerana takut membeli barang yang tidak dibenarkan untuk dipakai menurut hukum islam.

Terima kasih atas pencerahan, semoga jasa tuan/puan diberkati dan dirahmati Allah.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Bagi menjawab soalan yang diajukan:

1. Hukum memakai bulu mata palsu (lash) adalah haram berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Asma' binti Abu Bakar RA, sabda Rasulullah SAW: 

لَعَنَ اللهُ الْوَاصِلَةَ وَالْمُسْتَوْصِلَةَ

Maksudnya: Allah melaknat orang yang menyambung rambut dan melaknat pula orang yang disambungkan. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Walaupun begitu, ia dibolehkan dipakai oleh seorang isteri dengan keizinan suami, dengan menggunakan selain bulu atau rambut manusia atau haiwan yang najis. Ini kerana bercantik dan berhias hanya untuk suami adalah digalakkan dalam syarak.

2. Hukum memakai kuku palsu adalah haram melainkan untuk keperluan sahaja seperti melindungi bahagian kulit kuku asal yang tercabut atau tujuan rawatan dan seumpamanya dengan syarat tidak terlalu menyerlah atau berlebih-lebihan. Pemakaian kuku palsu demi kecantikan tambahan semata-mata, maka perkara itu tidak dibenarkan oleh syarak kerana dikhuatiri termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT.

Nail polish atau pengilat kuku adalah sejenis lapisan tebal yang diletakkan di atas permukaan kuku berfungsi sebagai penambah seri dan juga perlindungan ke atas kuku, berwarna atau tidak berwarna. Ia akan memberi kesan kilauan yang menjadikan kuku lebih berseri. Hukum menggunakan pengilat kuku pada asalnya adalah harus sebagaimana hukum memakai inai. Sekiranya bahan yang digunakan daripada bahan yang boleh menghalang air, hendaklah ia terdiri daripada bahan yang mudah ditanggalkan dan dibersihkan, agar wuduk dan mandi wajib dapat dilakukan dengan sempurna. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 29

message user image