BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalammualaikum,

Nenek saya berusia 76 tahun telah mengalami strok serius di mana sebahagian besar belah kanan otaknya rosak. Dia juga penghidap kencing manis, heart failure dan dementia/nyanyuk (sehinggakan tidak dapat solat seperti dahulu). Dia ditidurkan dengan tiub pernafasan, kemudian setelah bius hilang, disokong dengan alat bantuan pernafasan (ventilator) selama 11 hari terkini, dengan pemulihan yang sangat lemah.

Pada masa ini:
-Dia tidak lagi dibius tetapi dia tidak boleh makan kecuali melalui tiub makan.
-Boleh bernafas sendiri, namun hanya dengan bantuan pernafasan melalui ventilator/alat penyokong pernafasan.
-Tidak boleh bercakap atau berkomunikasi langsung, tiada suara kedengaran setakat ini. Kami tidak pasti dia boleh memahami apa yang kami katakan.
-Membuka satu atau kedua-dua mata dengan sangat singkat sepanjang hari.

Doktor menyebut bahawa:
-Dia tidak dianggap "brain dead" / kematian otak atau jantung, tetapi pada masa sama, tidak boleh makan, bernafas, bercakap, membuka mata, berkomunikasi secara diri sendiri.

 - Mungkin ada peluang tipis bagi dia membuka matanya secara perlahan-lahan atau mengeluarkan bunyi, tetapi dia akan kekal dalam keadaan terlantar. Untuk dia hidup setelah tiub pernafasan dimatikan, dia perlu menjalani trakeostomi (tebuk tiub dalam kerongkong) dan diberi tiub pemakanan. Dan keadaannya akan seperti orang yang tidak mempunyai jiwa di dalam tubuhnya.

-------------------

Kami hanya diberi 2 pilihan selepas hari ke-14 menggunakan tiub pernafasan/alat bantuan pernafasan:
i) Penjagaan paliatif / hujung hidup: 
- Tiub yang menyokong pernafasannya akan diputuskan untuk membolehkan dia meninggal dunia secara natural mengikut masa dia sendiri (biasanya beberapa jam atau dalam sehari). Dia masih akan diberi makan, oksigen bukan secara tiub, fluids, dan ubat sakit. Dia tidak sesuai untuk mendapat CPR kerana ia juga membawa risiko, kecederaan, dan komplikasi yang berat kepada pesakit. Kami tidak boleh mengekalkan tiub pernafasan yang menyokong pernafasaanya selama ini selepas hari ke-14 terlantar, kerana ia juga akan mempunyai komplikasi tersendiri kepada pesakit seperti jangkitan, dll. 

ii) Trakeostomi : 
- Lubang akan ditebuk ke dalam kerongkong supaya dia dapat hidup seketika tanpa tiub pernafasan. Tetapi tidak pasti berapa lama sebenarnya dia boleh terus hidup dengan syarat dia tidak mengalami perkara lain seperti serangan jantung, strok berulang, jangkitan daripada trakeostomi itu sendiri. Mungkin beberapa hari, bulan, boleh sampai setahun.. Tetapi biasanya kebanyakan pesakit akan bertahan sekurang kurangnya beberapa hari, namun dalam kesnya seperti di atas dia kemungkinan besar tidak akan bercakap, berkomunikasi, makan, bergerak.

Setakat ini:
-Tiada lagi pengurusan aktif untuknya, memandangkan 2 prosedur menyelamatkan nyawa telah dilakukan. Tiada penawar atau pemulihan drastik. Penyakit sedia ada sebelum strok juga akan menjadikan pemulihan dan pemikirannya sangat lemah. 
- Dia tidak dapat beribadah.
- Jika buat Trakeostomi, selalunya menyakitkan dan tidak selesa.
- Dia mungkin akan melalui lebih banyak penderitaan.
- Dia memerlukan penjagaan kejururawatan secara 24 jam yang kemungkinan mungkin kami boleh tanggung atau tidak, tidak pasti memandangkan keluarga kami semua bekerja dan jururawat peribadi tersangat mahal.

------------

Soalan saya:
Adakah halal untuk meneruskan dengan pemutusan tiub pernafasan yang ditawarkan?
-Kami hanya melihat kesakitan dan tiada penawar atau pemulihan drastik, serta begitu banyak komplikasi masa depan walau sekalipun dia hidup dengan prosedur tebukan di kerongkong.
-Kami ingin tiub dicabut dan dia diberi sokongan perubatan selain sehingga dia meninggal dunia secara natural seperti doktor terangkan.
-Kami sangat perit dan sedih dengan semua penderitaan yang dia hadapi dan kami tahu ia akan berhenti apabila dia meninggal. Dia menyatakan sebelum ini apabila dia sihat yang dia tidak suka sebarang prosedur invasif dilakukan dan tidak suka menjadi beban kepada orang lain.

Kami sangat sangat perlukan jawapan mufti/dll secepat mungkin memandangkan masa sudah singkat untuk membuat keputusan memandangkan sudah hampir hari ke 14. Semoga Allah membalas kebaikan dan keprihatinan dalam menjawab kemusykilan kami. Ameen


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Secara umumnya sebarang nasihat berkaitan kesihatan adalah amat-amat digalakkan untuk merujuk kepada doktor muslim yang dipercayai. Seterusnya pihak keluarga harus untuk memilih mana-mana kaedah yang ditawarkan oleh pihak doktor. Berbincanglah dengan pihak doktor serta ahli keluarga untuk membuat pilihan yang paling kurang risikonya kepada pesakit.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 87

message user image