BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamu'alaikum wr wb. Soalan saya ialah:

  • Terdapat produk farmaseutikal samada ia dalam bentuk tablet ataupun cecair digunakan untuk merawat dan menyembuhkan penyakit.
  1. Apakah hukum plasma darah yang digunakan dalam perubatan?
  2. Sekiranya pengguna menggunakan ia dalam keadaan tidak darurat, dan terdapat alternatif yang lain dalam penyembuhan, adakah hukum penggunaan plasma darah dalam aspek perubatan menjadi haram?

 

Terima Kasih saya ucapkan kerana telah menjawab dan memberi kerjasama. Ini merupakan kerja kajian tesis master saya yang bertajuk Hukum & Fatwa Plasma Darah 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

،الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Ulama bersepakat bahawa darah adalah najis, samada darah itu darah manusia atau haiwan. Melainkan darah ikan yang mana ulama berbeza pendapat mengenainya. Dalil kenajisan darah adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah al-An'am ayat 145:

قُلْ لَا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor (atau najis).

Di samping itu terdapat hadis daripada Abu Darda' RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ، وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلَا تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat dan menyediakan bagi setiap penyakit itu ubat. Maka berubatlah, dan janganlah kamu berubat dengan benda yang diharamkan. (Riwayat Abu Daud)

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Penggunaan plasma darah, samada daripada manusia atau haiwan, sebagai ubat di dalam bentuk tablet adalah tidak diharuskan melainkan dalam keadaan darurat, iaitu samada tidak terdapat alternatif ubat lain daripada sumber yang halal, atau ada akan tetapi harganya terlalu mahal, atau terdapat pandangan daripada Doktor Pakar yang mengatakan ubat tersebut tidak sesuai untuknya.

Walau bagaimanapun, penggunaan plasma manusia, bukan haiwan, di dalam bentuk cecair yang disuntik ke dalam tubuh bukan diambil sebagai minuman, dilihat terdapat keharusan dengan mengkiaskannya kepada keharusan pendermaan darah. 

2. Ya, penggunaan plasma darah bukan di dalam keadaan darurat atau jika terdapat altenatif lain di dalam perubatan adalah diharamkan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 23

message user image