BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Soalan 1: Assalamualaikum ustaz/ustazah, saya ada soalan berkenaan sertu. Ditempat kerja saya ada anjing. Semasa ke tandas saya melihat ada bekas tapak kaki anjing yang basah yang bercampur bertanah dilantai simen. Adakah saya perlu menyertu lantai tersebut? 

Soalan 2: Situasi ditempat kerja saya juga. Semasa saya membasuh tangan ada anjing menghampiri saya, setelah selesai saya mendapati bahawa ada bulu yang melekat pada selipar saya dan tidak pasti adakah bulu tersebut datang daripada anjing yang menghampiri saya itu atau dari kawasan lain. adakah saya perlu sertu selipar dan kaki saya? 

Soalan 3: Saya ada anak saudara yang masih kecil dalam berumur 5 tahun, saya pernah melihat semasa dia membuang air kecil, air buangan tersebut ada merencik ke kaki dia. Dan pada hari yang lain, saya tidak mengingati dia untuk membasuh kaki setelah membuang dan tidak melihatnya. Adakah saya perlu basuh lantai yang dipijak kerana risau mungkin ada percikan air najis pada kakinya kerana apabila ditanya dia tidak menjawab soalan saya? Bagaimanakah hukumnya? 

Terima kasih, ustaz/ustazah. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapatnya najis dari segi ainnya, warna atau bau. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing atau selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. 

Islam menghukum berdasarkan sesuatu yang jelas sahaja. Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.

Merujuk kepada persoalan puan:

1) Bekas tapak kaki anjing tidak perlu disertu melainkan sekiranya diyakini terdapat najis anjing padanya. Sehubungan itu tidak perlu disertu lantai tersebut. Cukup sekadar dibasuh sahaja lantai tersebut.

2) Apabila tidak yakin dengan sesuatu perkara tersebut, maka berpegang kepada konsep umum iaitu selagi tidak dapat dipastikan terdapat najis, maka ia kekal suci dan tidak perlu disucikan.  Cukup sekadar dibasuh seperti biasa sahaja. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan bulu tersebut adalah bulu anjing, maka ia dianggap suci dan tidak perlu disertu.

3) Tidak perlu dibasuh lantai tersebut kerana ianya hanyalah sekadar andaian puan sahaja. Lantai tersebut kekal bersih dan suci, ini kerana pada asalnya, sesuatu itu suci dan tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 21

message user image