BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt,

Saya ingin bertanyakan hukum bekerja di sebuah syarikat yang menawarkan kursus tatu secara online. Syarikat ini beroperasi di luar negara (Amerika Syarikat) dan tugasan saya adalah sebagai pegawai pemasaran. Tugas utama saya adalah membuat panggilan saringan selama 15-30 minit untuk menilai kesesuaian bakal pelanggan dan membuat temujanji dengan Pengarah Latihan mereka.

Adakah pekerjaan ini dikira sebagai menggalakkan perbuatan haram atau membantu orang lain melakukan perbuatan haram (tatu)?

Terima kasih atas penjelasan pihak mufti.

Wassalam


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
 

Merujuk kepada soalan yang diajukan, hukum membuat tatu adalah haram dan ia telah difatwakan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor seperti berikut :

Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam:

(1) Di dalam Islam hukum bertatu iaitu pembuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu adalah haram.


(2) Orang yang telah bertatu wajib bertaubat dan menyesal serta menghilangkan tatu tersebut menggunakan kaedah teknologi yang sedia ada jika tidak mendatangkan sebarang kemudaratan. Walau bagaimanapun, sekiranya ia mendatangkan kemudaratan pada diri dan nyawa, maka ia boleh dibiarkan dan dimaafkan. Bagi orang yang bertatu dan tidak sempat menghilangkan setelah meninggal dunia, maka tatu tersebut tidak wajib dihilangkan kerana ianya akan menyiksa mayat tersebut.


(3) Pihak berkuasa yang meluluskan lesen membuka premis membuat tatu pula mengenakan syarat iaitu pemilik dan pekerjanya mestilah bukan beragama Islam serta dilarang sama sekali mencacah tatu kepada orang Islam.

Pautan fatwa https://www.muftiselangor.gov.my/2023/10/28/hukum-bertatu-mengikut-pandangan-islam/ 

Sebaiknya carilah pekerjaan lain yang tidak terlibat dengan urusan-urusan yang secara jelas bertentangan dengan syariat serta larangan Allah SWT, setiap pekerjaan yang dilakukan adalah dengan niat membantu mempermudahkan urusan-urusan manusia lebih-lebih lagi urusan-urusan yang ada kaitan dengan Islam dan umat Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)

Sebagai pegawai pemasaran tugasan yang dilakukan adalah membantu syarikat yang menganjurkan kursus tatu mendapat pelajar baru dan pada masa yang sama akan melahirkan lebih ramai pembuat tatu, oleh itu secara secara terang-terangan membantu memudahkan urusan dalam perbuatan dosa. Semoga Allah SWT membantu anda dan umat Islam lain untuk medapatkan rezeki dari sumber yang halal dan diberkati oleh Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 42

message user image