BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam, saya ingin bertanya mengenai beberapa kemusykilan berkaitan najis mughallazah.

Saya bekerja di syarikat yang majoriti pekerjanya adalah bukan Islam. Saya mengetahui bahawa ada rakan sepejabat yang membawa bekal khinzir untuk makan tengahari dan kemudiannya menggunakan sinki di pantri untuk membasuh bekal tersebut. Di pantri ini, terdapat dua bekas sabun pencuci pinggan berasingan yang dilabel Halal dan Non Halal. Soalan-soalan saya ada berkaitan dengan situasi ini:

1) Adakah saya boleh menggunakn sinki tersebut? Adakah sinki dan pili air (pemutar dan kepala paip) tersebut dianggap najis?

2) Jika ya, sinki dan pili air (pemutar dan kepala paip) tersebut dianggap najis, adakah tangan saya menjadi najis juga sekiranya saya menyentuh barang - barang ini, walaupun saya tidak melihat sebarang kesan khinzir secara zahir (tetapi mengetahui bahawa bekas berisi makanan khinzir pernah dibasuh di sinki tersebut)? Dan adakah air yang terpercik dari barang-barang ini juga najis?

3) Jika contoh bahagian belakang tangan saya tersentuh salah satu barangan ini, dan kemudian saya membasuh tangan, lalu air dari tangan ini menitik-nitik ke tempat lain, termasuk bahagian tangan yang lain, adakah keseluruhan tangan saya dan juga tempat-tempat lain yang terkena titisan air ini menjadi najis? Jika tangan saya yang basah ini kemudiannya tersentuh barangan lain, adakah barangan tersebut menjadi najis?
 

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan; Soalan 1,2 dan 3 mempunyai kaitan antara satu sama lain. Dalam menentukan adanya najis perlulah diambil dengan jalan yakin bukan was-was atau syak wasangka, hal ini bertepatan dengan kaedah fiqah yang menyuruh perkara sebegitu:

اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ

Maksudnya: Keyakinan itu tidak dihilangkan disebabkan oleh syak (ragu-ragu). 

Selain itu, Islam juga mengajak umatnya mengikut perkara yang jelas dan yakin yang nampak di depan mata seperti terdapat satu kaedah menyebut:

نَحْنُ نَحْكُمُ بِالظَّاهِرِ، وَاللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: Kita berhukum dengan apa yang zahir dan Allah yang akan menguruskan apa yang tersembunyi.

Lebih-lebih lagi, mengikut situasi yang puan alami akan menjadi suatu taklif (bebanan) yang memberatkan puan tiap kali ingin menggunakan singki tersebut, di samping perkara ini bertepatan dengan konsep agama Islam itu sendiri yang meraikan kemudahan dan menghilangkan kesusahan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat ke-185:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan.

Justeru, selagimana puan tidak mendapati bahawa terdapat zat fizikal khinzir tersebut maka tidak ada najis padanya. Walau bagaimanapun, sekiranya puan benar-benar menyakini terdapat zat (ain) najis mughallazah iaitu khinzir terdapat pada singki maka perlulah puan menyucikannya sepertimana kehendak syarak yang telah diketahui caranya iaitu hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali dan salah satu basuhannya itu dengan tanah yang suci berdasarkan hadis yang menyebutkan berkenaan cara mencuci jilatan anjing. Namun, sekiranya ia menjadi suatu kesusahan bagi pihak puan, maka memadai dengan hanya membasuhnya sebagaimana cara basuhan najis mutawassitah dengan dihilangkan ain, rasa, bau dan warna najisdengan bertaqlid kepada pendapat qadim dalam mazhab Syafi‘i dan pendapat yang dipilih oleh Imam al-Nawawi serta ulama yang berpendapat sedemikian. Ini juga selari dengan kaedah yang menyebutkan:

مَنْ ابْتُلِيَ بِمُخْتَلَفٍ فِيهِ كَانَ لَهُ أَنْ يُقَلِّدَ مَنْ أَجَازَ

Maksudnya: Sesiapa yang diuji dengan suatu kesusahan yang diperselisihi di dalamnya, maka dia boleh bertaqlid dengan ulama yang mengharuskannya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 19

message user image