BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, apakah sah pengagihan daging korban yang telah diretort dan ada telah dimasak sebelum diagihkan? Selama ini saya hanya tahu daging korban wajib diagihkan secara mentah. Tahun ni 2024 (1445 H) saya meneliti ramai membuat tempahan korban utk penduduk Gaza & Palestin yg diuruskan banyak pihak. Daging korban ini dimasak, diretort  dan ditinkan / dibungkus agar dapat bertahan sehingga 2 tahun. Saya juga ada mengambil bahagian korban dengan cara ini cuma saya inginkan pencerahan berkaitan hukum korban dgn kaedah begini. Risau sekiranya korban saya tidak sah @ tidak sampai kepada penerima dengan cara yang betul. 

Promosi korban dengan cara ini pula dibuat secara besar-besaran di banyak media sosial. Terima kasih. Mohon pencerahan pihak agama bagi soalan ini daripada saya seorang yang jahil dan kurang ilmunya. 


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Berhubung kaedah pengagihan daging korban, secara asasnya disunatkan kepada peserta korban untuk mengambil sedikit daripada daging korbannya untuk mengambil berkat daripada daging tersebut sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Manakala baki kesemuanya disedekahkan kepada fakir miskin dalam keadaan mentah. Namun harus bagi perserta untuk memberikan kesemua daging korban tanpa mengambil sedikitpun daripadanya.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, dalam konteks umat Islam di Palestin dan Gaza, diharuskan untuk berkorban dan memberikan daging korban kepada mereka. Ini adalah kerana mereka sememangnya dalam keadaan susah dan amat memerlukan serta berhak menerimanya. Tidak menjadi kesalahan untuk mengetin daging korban tersebut agar dapat digunakan untuk tempoh yang lama, kerana ia memberi lebih manfaat kepada mereka. 

Untuk maklumat lanjut boleh baca Risalah Fiqh Korban yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor: https://www.muftiselangor.gov.my/wp-content/uploads/2024/03/buku-risalah-korban-amend-5.pdf 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 14

message user image