BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

 

Sekiranya seseorang itu melanggar sumpah laknat yg telah dilafazkan, maka dia harus membayar kaffarah dengan berpuasa 3 hari,  memberi makan 10 orang fakir miskin atau memberi pakaian kepada 10 orang fakir miskin. (betulka saya sekiranya salah)

Tetapi, bagaimana pula cara seseorang untuk membatalkan sumpahnya? Sebagai contoh, seorang suami dalam keadaan marah telah menyuruh isterinya bersumpah. Namun, setelah beberapa hari, suami tersebut telah menyesal dan ingin membatalkan sumpah tersebut. Apa yang perlu pasangan ini lakukan?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, perlu difahami bahawa kaffarah bagi sumpah adalah dengan membuat pilhan sama ada, memberi makan 10 orang fakir miskin atau memberi pakaian kepada 10 orang fakir miskin. Namun sekiranya tidak mampu melakukan demikian maka barulah berpuasa selama tiga hari. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Ma'idah ayat 89:

فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ

Maksudnya: Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari.

Sebagai contoh, apabila seseorang bersumpah untuk tidak makan durian, kemudian dia melanggar sumpah dengan memakan durian, maka wajib ke atasnya kafarah.

Syarat sah sumpah adalah dengan menyebut nama Allah SWT atau sifat-Nya. Syarat sumpah yang lain adalah dilakukan oleh seorang yang mukallaf, rela bersumpah, melafazkan sumpah dan sengaja melakukan sumpah dengan kehendak sendiri dan tidak dipaksa. Apabila telah bersumpah, maka sumpah tersebut tidak boleh dibatalkan.

Walau bagaimanapun, sumpah juga boleh berlaku dalam keadaan seseorang bersumpah untuk membuat pembelaan atau menegaskan kebenaran sesuatu kenyataan. Seperti seorang bersumpah dengan nama Allah tidak mencuri.

Hukum bersumpah menggunakan nama Allah untuk menipu atau kata-kata dusta adalah berdosa besar. Ini sebagaimana hadis daripada Abu Bakrah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«أَلاَ أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الكَبَائِرِ؟» ثَلاَثًا، قَالُوا: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ، وَعُقُوقُ الوَالِدَيْنِ - وَجَلَسَ وَكَانَ مُتَّكِئًا فَقَالَ - أَلاَ وَقَوْلُ الزُّورِ»، قَالَ: فَمَا زَالَ يُكَرِّرُهَا حَتَّى قُلْنَا: لَيْتَهُ سَكَتَ

Maksudnya: Mahukah aku khabarkan kepada kamu sebesar-besar dosa besar?” Baginda mengucapkannya tiga kali. Para sahabat menjawab, “Ya, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda, “Menyekutukan Allah (syirik) dan derhaka kepada kedua ibubapa.” Baginda duduk sebelumnya beliau bersandar, lalu Baginda bersabda lagi, “Ingat, dan juga perkataan palsu,” Perawi berkata, “Baginda terus mengulangi ucapannya, hingga kami berharap Baginda diam. (Riwayat Al-Bukhari)

Juga seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Hajj ayat 30:

فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ 

Maksudnya: Maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta.

Sekiranya seseorang itu, bersumpah tidak melakukan sesuatu perkara dengan nama Allah, tapi pada hakikatnya dia melakukannya, maka dia telah melakukan dosa besar dan perlu bertaubat kepada Allah SWT. Namun, tiada kafarah dikenakan terhadap perkara itu.

Berhubung, sumpah yang dilakukan oleh isteri tuan, seandainya sumpah itu dilakukan dengan sebab paksaan dan bukan dengan sukarela, maka sumpah itu tidak sah dan tidak berdosa.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 12

message user image