BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz, kebiasaannya setelah habis haid, saya akan mengalami masalah keputihan yang banyak dan saya akan bersihkannya setiap kali waktu solat. Namun, selepas beberapa hari kemudian, tiada lagi keputihan setiap kali saya bersihkan  untuk tunaikan solat. Adakah saya masih perlu bersihkannya setiap kali waktu solat kerana tiada lagi keputihan buat masa ini?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

،الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa menurut Imam Syafi'i dalam kitab al-Umm, setiap kencing, mazi, wadi atau sesuatu yang tidak diketahui atau diketahui yang keluar daripada kemaluan, maka semua hukumnya najis kecuali air mani. Ini bermakna sekiranya cairan keputihan datang daripada dalam faraj selain mani, maka statusnya najis.

Oleh itu, keputihan adalah najis dan membatalkan wuduk kerana ia keluar daripada had batin faraj (tempat yang tidak wajib dibasuh ketika istinjak). Wanita yang mengalami masalah keluar keputihan berterusan hukumnya seperti wanita istihadah yang sentiasa dalam keadaan berhadas atau disebut sebagai daim al-hadath. Kaedah serta hukum wuduk bagi wanita yang menghadapi masalah ini adalah seperi berikut:  

  • Membasuh faraj daripada najis keputihan.

  • Memakai tuala wanita bagi menghalang cecair keputihan daripada mengalir keluar.

  • Mengambil wuduk setelah masuk waktu solat.

  • Wuduk yang diambil hanya sah untuk satu waktu solat fardu dan beberapa solat sunat.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, sekiranya didapati tidak keluar keputihan maka tidak perlu untuk dibasuh atau disucikan. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 26

message user image