BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t,

Saya ingin bertanya dari sudut pandangan islam tentang cukai tanah terhadap orang islam.

Apakah hukum jika seseorang  membina rumah dan menetap di tanah tersebut tidak pernah membayar cukai tanah. Sedangkan pemilik lain membayar cukai tanah tersebut tetapi terdapat individu yang enggan membayar cukai tanah tersebut.

Rumah yang diduduki dibina di atas hak milik beliau sendiri tetapi tidak pernah membayar cukai tanah.

Apakah amal ibadatnya seperti solat, puasa dan sebagainya diterima oleh Allah. Bagaimana islam memandang perkara ini?

Sekian Terima Kasih

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد  

Merujuk kepada soalan yang diajukan, cukai tanah merupakan kewajipan yang telah ditetapkan oleh pihak pemerintah kepada rakyat yang memiliki tanah. Tujuan asal cukai adalah bagi membantu pihak pemerintah untuk merancang dan melaksana pembangunan yang lebih holistik demi masa depan negara. Pembayaran cukai adalah salah satu kaedah rakyat membantu mengukuhkan pendapat atau hasil sesebuah negara dan ia akan digunakan bagi kemaslahatan rakyat secara umum. Ini adalah kerana wajib bagi umat Islam untuk mematuhi pemerintah sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Nisa' ayat 59:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu

Terdapat juga kaedah fiqah yang mengatakan:

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة

Maksudnya: Tindakan (polisi) pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah (terhadap rakyat).

Perbuatan tidak membayar cukai adalah tidak bertanggungjawab dan berdosa kerana sedikit sebanyak telah merencatkan pembangunan negara dan generasi akan datang. Namun amalan ibadah khusus seperti solat, puasa dan seumpamanya tidak terkesan dengan keengganan membayar cukai.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 20

message user image