BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya mempunyai soalan.

Saya dahulu pernah main satu permainan dalam talian iaitu Genshin Impact namun saya berhenti memainkannya setelah isu berkaitan dialog watak sampingannya yang mengatakan "Harut dan Marut merupakan dua syaitan yang lincah". Namun Harut dan Marut yang dimaksudkan karakter tersebut ialah nama kucing peliharaannya. Perkara ini menimbulkan banyak perdebatan dalam kalangan pemain muslim permainan tersebut, ada yang mengambil keputusan untuk meninggalkannya manakala ada pula yang mengatakan bahawa hal itu tidak menjadi masalah kerana hanya merujuk kepada nama kucing. Saya sendiri membuat keputusan untuk berhenti memainkan permainan tersebut dan berpindah ke permainan yang lain dari syarikat yang sama. Persoalan saya, apakah pandangan ustaz sendiri mengenai isu ini, adakah ia termasuk penghinaan agama Islam? Kedua, adakah berdosa juga jika saya memainkan permainan lain yang dibuat oleh syarikat yang sama tanpa saya mengeluarkan sebarang wang ringgit? Mohon pencerahannya. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Sebelum menjawab soalan yang diajukan, perlu difahami terlebih dahulu bahawa hukum asal bagi bermain video game adalah harus. Walaupun begitu, bagi permainan yang mempunyai unsur syirik seperti sihir, pemujaan dewa dan lain-lain unsur syirik adalah dilarang. Hal ini bertepatan dengan kaedah "sesuatu yang boleh membawa kepada haram maka ia adalah haram".  

Begitu juga permainan game Genshin Impact yang mempunyai unsur sihir dan tahyul. Maka tindakan untuk tidak bermain game ini adalah pilihan yang terbaik.

Bagi menjawab soalan yang diajukan:

Pertama, untuk menyatakan syarikat permainan game Genshin Impact menghina Islam adalah susah dan tidak dapat dipastikan. Hal ini kerana boleh jadi mereka ambil nama Harut dan Marut tanpa mengetahui dan memahami asal usul nama tersebut. Boleh juga terdapat pertembungan budaya dan pemahaman agama tertentu selain Islam terhadap nama Harut dan Marut. Tambahan sebahagian mereka orang bukan Islam yang tidak mempunyai pegangan satu-satu agama yang kukuh dan terkadang berpegang dengan pelbagai aliran dan pemahaman. Jadi tidak dapat dipastikan terdapat unsur penghinaan terhadap agama Islam sehinggalah terdapat kajian atau kenyataan dengan jelas tentang perkara ini.

Kedua, Jika permainan game daripada syarikat yang sama tersebut tidak mempunyai unsur haram dan syirik maka dibenarkan untuk bermain permainan game tersebut. 

Sebagai perkongsian, berikut merupakan garis panduan penentuan hukum sesuatu hiburan seperti permainan video game sebagaimana yang digariskan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji:

- Makruh: Sekiranya hiburan itu tidak memberi sebarang kesan baik ataupun buruk kepada manusia kerana menghabiskan masa melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.

- Haram: Sekiranya membawa keburukan kepada inidividu dan masyarakat seperti perbuatan yang bercampur dengan perkara yang buruk atau diharamkan syarak seperti perjudian.

- Dibenarkan dan digalakkan: Sekiranya hiburan itu memberi kesan yang baik kepada individu dan masyarakat. Seperti pertandingan memanah dan permainan yang berfaedah untuk peperangan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 25

message user image