BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Saya membela arnab dalam rumah 

1. Pada mata kasar tahi arnab berbentuk bulat dan tidak melekat pada lantai...oleh itu adakah ia dianggap suci sekiranya saya hanya menyapu untuk membersihkannya?

2. Arnab saya terkencing dan terkena pada kulit al quran yang bersalut seakan plastik lalu saya membersihnya menggunakan tisu basah sehingga tiada bau rasa atau kesan.Adakah Al Quran tersebut masih suci untuk dibawa ketika solat?

Mohon penjelasan.Terima Kasih


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

،الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Menurut mazhab Syafi'i, tahi, bahan buangan dan kencing daripada semua jenis haiwan adalah najis. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud RA:

أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحَجَرَيْنِ وَرَوْثَةٍ فَأَخَذَ الْحَجَرَيْنِ وَأَلْقَى الرَّوْثَةَ وَقَالَ إنَّهَا رِكْسٌ

Maksudnya: Rasulullah  SAW apabila dibawa dua biji batu dan najis binatang (yang telah keras) untuk beristinjak maka Baginda telah mengambil batu dan membuang najis binatang tersebut, lalu berkata “Ini adalah kotoran". (Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)

Tahi arnab adalah najis mutawassitah yang wajib disucikan dan boleh membatalkan solat jika terkena pada pakaian atau tersentuh pada kulit manusia. 

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Seandainya dapat dipastikan bahawa tidak ada kesan pada lantai tersebut kesan najis arnab sama ada warna, bau atau rasa selepas disapu, maka lantai itu kekal suci. Namun, pada kebiasaannya dengan jumlah najis yang banyak akan meninggalkan kesan najis serta bau pada lantai apabila disapu. Oleh itu, lantai itu perlu dibasuh dan disucikan sekiranya hendak digunakan untuk mendirikan solat.

2. Mengelap kulit al-Quran yang terkena kencing arnab menggunakan tisu basah sehingga hilang kesan najis hanya menjadikannya bersih sahaja, namun tidak mensucikannya. Kawasan yang dibersihkan itu dianggap sebagai bernajis hukmi. Ini bermakna ia tidak boleh dibawa ketika solat. Kawasan yang telah dibersihkan itu perlu dialirkan sekadarnya dengan air mutlak untuk mensucikannya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 19

message user image