BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya mengenai soal riba. Saya beli motor secara berhutang di kedai cina. Harga keseluruhan motor serta campur dengan insurans dan sebagainya adalah sebanyak Rm10,500. Manakala ada bunga di kenakan sebanyak Rm600 untuk setahun, maka jumlah keseluruhannya adalah Rm11,100. Adakah itu dikira riba dan apakah saya berdosa? Mohon jelas, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
 

Merujuk kepada soalan yang diajukan, membeli motorsikal dengan harga bertangguh dengan akad jual beli motorsikal adalah diharuskan dalam Islam. Situasinya adalah kedai menjual motorsikal dengan harga yang tinggi berbanding pembelian secara tunai dan dibahagikan untuk beberapa tahun dan pembeli bersetuju dengan harga tersebut maka jual beli ini adalah sah dan diharuskan di dalam syarak. Ia adalah akad jual beli motorsikal yang harus.

Tetapi sekiranya ketika membuat pembelian motorsikal ada keterlibatan pihak penyedia pinjaman konvensional atau pinjaman tidak patuh syariah untuk pembelian motorsikal, maka disitulah berlaku riba iaitu membeli motorsikal dengan menggunakan pinjaman kewangan dengan peratus-peratus tertentu maka ianya adalah haram.

Sekiranya telah melakukan pinjaman riba sebaiknya segera selesaikan atau batalkan pembelian kerana pengharaman riba adalah sesuatu yang berat dan Allah SWT melarang umat Islam terlibat dengan riba sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba

Sebaiknya dapatkan maklumat yang lengkap dan pilihlah pembiayaan yang disahkan patuh syarak walaupun kelihatan sama tetapi kedua-dua pembiayaan Islam dan konvensional mempunyai akad yang berbeza.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 32

message user image