BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum saya mempunyai soalan. Kadang-kadang saya suka menonton filem dan membaca novel yang kadang mengandungi unsur sihir dan mitologi-mitologi kepercayaan lain seperti filem thor dan sebagainya. Saya pernah mendengar sebelum ini beberapa ustaz berkata menonton filem atau membaca novel sebegitu tidaklah menjadikan seseorang itu kafir asalkan dia tidak mempercayainya. Namun, saya juga ada membaca pendapat ulama lain yang mengatakan bahawa perbuatan ini haram. Ada juga ulama yang mengatakan sekiranya diri kita menikmati bahan-bahan yang mengandungi unsur berikut, maka seseorang itu boleh jatuh kafir. Jadi soalan saya, sekiranya saya hanya menonton atau membaca bahan yang mengandungi unsur seperti berikut, hanya sebagai hiburan sahaja tanpa mempercayai dan mengakui perbuatan watak-watak tersebut, adakah boleh menjadikan saya kafir atau jatuh hukum syikir atau sebagainya? Kerana secara naturalnya bahan hiburan seperti ini memanglah ditonton untuk dinikmati dan saya risau sekiranya perbuatan saya ini boleh menjadikan saya kafir. Mohon pencerahannya. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Tidak dapat dinafikan menonton filem adalah salah satu bentuk hiburan. Ia boleh jadi harus dan ia boleh jadi haram. Bagi menjawab soalan yang diajukan, menonton filem yang mempunyai unsur sihir dan mitologi tertentu dibenarkan selagi mana tidak mempercayai kepercayaan tersebut dan filem berkenaan tiada unsur lucah atau tidak senonoh. Filem sebegini tidak menjadikan seseorang itu kafir dengan hanya sebab menontonnya. Kecuali mereka yang terpengaruh dan percaya kepercayaan dalam filem tersebut maka ia boleh menjejaskan akidahnya. Ini kerana perkara sebegini terkait dengan masalah iktiqad atau kepercayaan. Berikut merupakan garis panduan hiburan menurut syarak:

- Makruh: Sekiranya hiburan itu tidak memberi sebarang kesan baik ataupun buruk kepada manusia kerana menghabiskan masa melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.

- Haram: Sekiranya membawa keburukan kepada inidividu dan masyarakat seperti perbuatan yang bercampur dengan perkara yang buruk atau diharamkan syarak seperti perjudian, gambar yang membuka aurat, menggalakkan kepada keganasan, membunuh diri dan sebagainya.

- Diharuskan: Sekiranya hiburan itu memberi kesan yang baik kepada individu dan masyarakat. Seperti filem yang mengandungi unsur nasihat dan dakwah. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

                                                                                                                           


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 67

message user image