BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Saya baca al-qur'an. saya letak botol air di tepi. air tu setiap kali habis baca al-qur'an, saya minum. air di dalam botol sentiasa saya tambah bila dah tinggal sikit. Adakah perkara yang saya buat termasuk di dalam kategori syirik? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Syirik adalah merupakan suatu perbuatan yang berdosa besar dan juga merupakan perkara yang diharamkan dalam Islam.

Firman Allah SWT didalam surah An-Nisa' ayat 48 :

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.

Namun begitu, perbuatan meminum air yang diletakkan di tepi ketika membaca al-Quran dan akan mengisi setiap kali air tersebut habis adalah perbuatan yang tidak bertentangan dengan syarak dan bukan dalam kategori syirik dengan syarat tidak beriktiqad bahawa air itu boleh menyembuhkan penyakit. Sebaliknya yang menyembuhkan penyakit adalah Allah SWT dan air itu adalah perantaraan atau ubat. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT di dalam surah al-Isra' ayat 82:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ 

Bermaksud: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 46

message user image