BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan/Puan,

 

Saya ingin bertanya. Alhamdulillah ibubapa saya menjaga dan mendidik saya dengan baik dan sentiasa menegur berkenaan perkara wajib dalam Islam. Ibubapa saya kerap menonton video di Youtube berkenaan siri video dari negara seberang.  Isi video tersebut banyak menunjukkan tentang sumpah pocong, "kuasa sakti", dan banyak menjual barangan dengan harga yang tidak masuk akal dengan menekankan ia pernah digunakan/dipegang oleh wali(tanpa disebutkan namanya).  Ibubapa saya kerap meminta saya membelikan mereka barangan daripada siri tersebut kerana mereka kata untuk mendapatkan berkat orang alim.  Alhamdulillah, selagi saya ada rezeki, saya beri apa yang diinginkan ibubapa saya, tetapi untuk ini, hati saya tidak sedap hati.  Saya ada menyatakan berkenaan isu ini, dan menyarankan mereka jika ingin menyumbang, banyak lagi agensi, persatuan islamik di Malaysia yang lebih diyakini.  Soalan saya:

 

1.Apakah hukum sumpah pocong? Bolehkah kita percaya dengan sumpah pocong itu sendiri.  Daripada pengetahuan saya yang amat cetek ini, kita tidak boleh bersumpah selain daripada Allah.

2.Dalam siri tersebut menunjukkan mereka menjual tasbih dengan harga RM300+- dengan menyatakan tasbih tersebut digunakan/dipegang oleh wali(tanpa disebutkan nama wali).  Adakah aktiviti ini dibenarkan oleh Islam atau dikira sebagai menjual agama?  Selain itu mereka juga ada menjual madu dan barang lain yang dikatakan sakti.  Apakah hukum orang yang membeli barangan tersebut?

3.Ibubapa saya berkata mereka inginkan tasbih tersebut dengan harapan mendapat berkat dan rajin untuk beribadah, adakah ia dibenarkan dalam Islam? Jika saya tidak membelikan ia kerana risau kebergantungan kepada makhluk lebih daripada kepada Allah, adakah saya berdosa?

4.Jika perkara tersebut ada yang salah dan perlu ditegur, bagaimana untuk menegur ibubapa saya dengan cara yang tak menguris hati mereka?

 

Terima kasih dan doakan saya menjadi anak yang solehah dan dapat berbakti kepada ibubapa saya sehingga nafas saya yang terakhir dan mendapat redha Allah dunia akhirat.

Assalamualaikum.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Setakat carian yang dijumpai mengenai sumpah pocong adalah ia sebuah sumpah yang dilakukan dalam keadaan tubuhnya dibalut dengan kain kafan seperti orang yang telah meninggal dunia dan merupakan tradisi masyarakat Indonesia. Ada yang melakukannya di dalam masjid dengan dibaringkan seperti jenazah lalu meminta orang tersebut untuk bersumpah. Ia merupakan satu solusi apabila siasatan tidak menemui sebarang bukti dalam pendakwaan. Sumpah pocong ini terdapat unsur psikologi dalam menakutkan yang dituduh melakukan kesalahan agar dia berasa takut lalu mengaku kesalahan.

Bagi menjawab soalan yang diajukan:

1. Pada dasarnya, sumpah yang dibenarkan adalah hanya bersumpah dengan nama Allah SWT. Bagi isu sumpah pocong ini terdapat kesamaran tentang pengamalannya. Ianya juga tidak bersesuaian dengan syariat Islam. Maka sewajarnya dijauhi kerana boleh membawa kepada khurafat dan kesyirikan.

2. Menjual alat-alat ibadah adalah diharuskan dan ia mestilah mengikut kepada kaedah muamalat Islam. Jika menepati syarat maka ia diharuskan. Berkaitan dengan harga barang, maka ia mengikut kepada persetujuan dan keredaan penjual dan pembeli walaupun harganya tidak masuk akal.

Adapun mempercayai sesuatu barang atau alat ibadah seperti tasbih mempunyai kesaktian tersendiri maka ia adalah sebuah kesyirikan. Jika mempercayai sesuatu tasbih itu mempunyai keberkatan disebabkan ada wali Allah SWT atau ulama tertentu pernah menggunakannya, maka ia dibenarkan. Akan tetapi dengan syarat mempercayai keberkatan itu datang daripada Allah SWT bukan pula wali itu yang memberikan keberkatan.

Berdasarkan isu yang diceritakan, seeloknya elakkan daripada beli barang-barang tersebut kerana terdapat unsur penipuan (gharar) dan juga boleh membawa kepada syirik jika percaya barang-barang tersebut mempunyai kesaktiannya tersendiri. Untuk menyatakan seseorang itu menjual agama adalah agak sukar kerana ia terkait dengan niat seseorang.

3. Dalam isu ini, tidak berdosa jika tidak membelikan mereka tasbih daripada siri tersebut atas dasar berhati-hati. Walau bagaimanapun, sebagai solusi, boleh bawa mereka berjumpa tuan-tuan guru pondok yang mempunyai sanad tertentu untuk mendapatkan ijazah sanad tasbih dan sebagainya. Sebagai contoh TG Ridoudin di Maahad Ihya Ulumiddin di Penang atau TG Zulkifli Ismail di Baitul Qurra Melaka. Insha Allah dengan cara ini lebih diberkati dan selamat. 

4. Nasihatkan mereka supaya menuntut ilmu dengan guru yang dipercayai secara bertalaqqi atau berhadapan. Banyakkan bawa mereka duduk dalam majlis-majlis ulama yang diyakini keilmuannya. Terdapat banyak tempat pengajian dan majlis ulama yang ada di Malaysia sekarang ini. Jika ibu bapa Puan mempunyai sebarang kemusykilan, boleh bawa mereka ke Jabatan Mufti untuk mendapatlkan penerangan lebih lanjut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 42

message user image