BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt. Saya nak tanya. Soalan ni berkaitan dengan akidah. Saya lahir sebagai orang islam, tapi masa bulan disember tahun lepas, saya dapat was-was akidah. Saya cuba lawan tapi saya rasa saya dah gagal. Saya mula rasa tidak yakin kepada Allah. begitu juga kepada nabi, Al-quran dan semuanya. Dalam hati keyakinan saya seperti dah takde. Saya cuba ulang syahadah banyak kali tapi Masih rasa tak yakin. Tapi saya nak bertaubat sebab saya rasa saya macam dah syirik kepada Allah sebab saya mula rasa yakin kepada agama lain. Kalau saya solat taubat, tapi dalam keadaan tak yakin, sah ke solat saya ? Saya nak taubat sebab saya rasa berdosa dengan Allah. Saya cuba nak kenal Allah balik, tapi saya taktau macam mana. Mohon penjelasan, saya takut saya mati dalam keadaan tidak bertaubat.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan; 

1) Akidah seseorang itu boleh terbatal adalah disebabkan oleh 3 perkara iaitu secara iktikad (hati), lisan (percakapan) atau perbuatan bahawa dia telah keluar Islam dengan sengaja atau secara yakin dan sedar. Adapun jika hanya semata-mata lintasan hati dengan mengatakan perkataan kufur atau rasa tidak yakin dengan Islam yang boleh dikategorikan sebagai was-was sahaja di hati antara ciri yang boleh menyebabkan akidah seseorang tergelincir. Ia merupakan satu dosa besar dan wajib bertaubat kepada Allah SWT. Namun ia tidak menjadikan puan sebagai seorang yang murtad selagimana tidak terzahir dari percakapan dan perbuatan yang menunjukkan kepada kekufuran. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku apa yang diwaswaskan dengannya di dalam hatinya selagimana dia tidak melakukan atau mengatakan (apa yang diwaswaskan). (Riwayat al-Bukhari)

Adalah disarankan agar sentiasa memperbaharui syahadah, sesuai dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا، قَالَ: أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ

Maksudnya: Perbaharuilah iman kamu, Rasulullah ditanya : Bagaimana cara untuk memperbaharui iman kami. Rasulullah SAW bersabda: Perbanyakkan berkata لا اله الا الله. (Riwayat Ahmad).

2) Solat sunat taubat puan dikira sah kerana puan masih lagi dikira sebagai muslim. Antara tanda bahawa iman puan masih sah adalah puan mempunyai rasa ingin bertaubat dan kembali kepada Allah SWT. Tanda keimanan ini tidak akan ada pada seseorang yang benar-benar telah keluar dari Islam. Maka, teruskanlah perbanyakkan solat sunat taubat dan istighfar moga-moga Allah SWT akan membuka hati dan jalan kepada puan untuk sentiasa menyakini bahawa Islam itu adalah agama yang benar. Yakinlah bahawa Allah SWT amat mengetahui hambaNya yang ikhlas ingin bertaubat.  

3) Terdapat pelbagai cara untuk mengenal Allah SWT yang boleh puan ikuti, antaranya bermulazamah dan membiasakan diri dengan majlis-majlis zikir serta majlis-majlis ilmu. Majlis zikir dapat mendatangkan ketenangan hati. Selalulah mendampingi para alim ulama oleh kerana mereka adalah pewaris para nabi yang memberikan pendedahan mengenai manakah perkara yang betul dan batil sama ada secara langsung ataupun online melalui media sosial. Pilihlah majlis ilmu yang mengajarkan mengenai ilmu tauhid secara khusus. Akhir sekali, perbanyakkan doa kepada Allah SWT agar dihidupkan dan dimatikan dalam Islam. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 56

message user image