BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Nama saya Nor. Saya seorang mualaf. Dahulu sebelum memeluk islam saya bergama kristian dan boleh dikatakan saya sering menjadi ketua sembahyang untuk keluarga. Baru-baru ini saya telah membimbing seorng rakan yg bergama Buddha untuk memeluk agama kristian.Saya telah berdoa & bersembahyang bersama umat kristian yg lain dan saya juga termakan daging babi. Sedikit pun saya tidak pernah berniat untuk meninggalkan islam.  Adakah perbuatan saya ini dikatakan murtad? Tolong lah saya. Saya tidak mahu mngulangi perbuatan ini lagi kerana saya ingin memenuhi impian saya untuk menjejakkan kaki ke tanah suci dan memegang kaabah.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Murtad dalam Islam berlaku apabila seseorang secara sengaja keluar daripada agama Islam dengan niat dan kefahaman yang jelas. Ia merangkumi tindakan seperti menafikan rukun iman, menghina agama Islam, atau mengisytiharkan keluar dari Islam. Justeru, dalam keadaan ini ia tidak dihukumkan sebagai murtad. Namun begitu, tindakan tersebut dianggap berdosa kerana melakukan perkara-perkara yang telah dilarang oleh agama Islam. Oleh itu, disarankan kepada puan agar bertaubat kepada Allah SWT secara bersungguh-sungguh serta berazam dan tidak mengulangi perbuatan tersebut. Di samping itu juga, kami turut menasihatkan agar puan mendapatkan bimbingan agama secara mendalam dengan menghadiri pengajian ilmu agama Islam dan sentiasa memperbaharui iman dengan mengucap kalimah syahadah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ "، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا؟ قَالَ: " أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ

Maksudnya: Perbaharuilah kamu semua akan iman kamu. Dikatakan : Wahai Rasulullah! Bagaimana kami hendak memperbaharui iman kami? Baginda menjawab : Perbanyakkan mengucapkan kalimah La Ilaaha Illallah. (Riwayat Ahmad) 

Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun dan pengampunan (Rahmat) Allah SWT mengatasi kemurkaannya. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 41

message user image