BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : JENAYAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya telah berpisah dengan bekas teman lelaki dan selepas itu, saya mula mendekatkan diri kepada Tuhan dan bertaubat. Saya berasa sangat bersalah atas perbuatan kami sebelum ini, yang termasuk melakukan mukadimah zina seperti memegang kemaluan dan bercumbu. Dia berjanji untuk berkahwin dengan saya, dan kerana itu, saya terus terlibat dalam perbuatan yang salah walaupun saya tidak merasakan kesan atau penyesalan pada waktu itu. Namun, selepas perpisahan, dia tidak mahu bertanggungjawab terhadap saya.

  1. Apakah tanggungjawabnya terhadap saya memandangkan kami tidak bersetubuh, walaupun kami sudah hampir melakukannya banyak kali?
  2. Bolehkah keluarga saya berbincang dengan keluarganya untuk membincangkan tanggungjawab ini, kerana keluarga saya ingin memastikan maruah saya yang tercalar dapat dibela?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Setiap manusia tidak terlepas dari kesalahan, dan taubat adalah jalan yang Allah SWT sediakan untuk hamba-Nya menginsafi dan menyesali serta kembali kepada Allah SWT dengan sepenuh jiwa. Ini sebagaimana hadis daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda:

 كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ، وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: Setiap manusia pasti berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah orang yang bertaubat. (Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibnu Hibban)

Tindakan saudari segera dalam bertaubat kepada Allah SWT adalah tindakan yang terpuji dan sangat dianjurkan dalam Islam sebagaimana hadis di atas dan taubat yang konsisten akan dapat mendorong kita untuk tidak melakukan maksiat kepada Allah SWT dan memotivasi diri untuk suka dan gemar melakukan amal ibadah kerana Allah SWT.

Menjawab pertanyaan saudari :

1. Kalau melihat dari sudut tanggungjawab nafkah atau seumpama dengannya, ia tiada kaitan kerana saudari dan bekas teman lelaki tiada apa-apa ikatan yang diktiraf sah sebagai suami atau isteri. Namun, dari sudut kemanusiaan, mungkin bekas teman lelaki saudari ini selayaknya bertanggungjawab untuk memastikan hubungan yang terjalin sebelum ini diikat secara sah secara syara dengan perkahwinan. Walaupun begitu, pesetujuan untuk berkahwin adalah perlu mengambil kira kemampuan, keinginan untuk berkahwin serta kesediaan yang lain. Ini kerana dikhuatiri akan berlaku perkara-perkara yang tidak baik dikemudian hari, apatah lagi bila telah sah sebagai suami isteri.

2. Boleh, tetapi hendaklah dengan penuh hikmah dan toleransi agar perbincangan itu dapat menatijahkan keputusan dan solusi yang terbaik. Selebihnya bertawakkal lah kepada Allah SWT agar semua yang berlaku dan juga keputusan yang diambil itu ada hikmah dan keberkatannya dari Allah SWT.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 93

message user image