Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ada kemusykilan tentang permainan video game. Adakah unsur magic / superpower boleh menjadikan sesuatu video game itu haram, dan adakah perbuatan bermain permainan video game itu boleh jatuh syirik?
Website Mufti Wilayah Persekutuan, dalam topik AL-KAFI # 1879: HUKUM MENONTON CERITA BERKAITAN SIHIR, ada menyatakan bahawa hukum asal menonton cerita yang berkaitan sihir adalah harus kerana tontonan filem seperti ini semata-mata atas tujuan hiburan dan seumpamanya tanpa mempercayai tidak boleh digolongkan dalam kategori membenarkan atau mempercayai sihir.
Adakah hukum ini boleh jugak terpakai untuk permainan video game? Jika tidak, bagaimanakah ia berbeza dengan konsep menonton cerita berkaitan sihir?
Jawapan
Merujuk kepada soalan-soalan yang diajukan, hukum asal bagi bermain video game adalah harus. Adapun bagi permainan yang mempunyai unsur magic seperti superpower dan sebagainya, maka hukumnya bergantung kepada pemain itu sendiri. Sekiranya permainan itu boleh menyebabkannya terpengaruh dengan unsur tersebut sehingga mendatangkan mudarat kepada dirinya, maka hukumnya tidak diperbolehkan. Hal ini bertepatan dengan kaedah "sesuatu yang boleh membawa kepada haram maka ia adalah haram". Namun jika sebaliknya, permainan itu sekadar hiburan semata-mata tanpa mempengaruhi diri pemain, maka hukumnya adalah harus.
Berikut merupakan garis panduan penentuan hukum sesuatu hiburan seperti permainan video game sebagaimana yang digariskan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji:
- Makruh: Sekiranya hiburan itu tidak memberi sebarang kesan baik ataupun buruk kepada manusia kerana menghabiskan masa melakukan perbuatan yang tidak berfaedah.
- Haram: Sekiranya membawa keburukan kepada inidividu dan masyarakat seperti perbuatan yang bercampur dengan perkara yang buruk atau diharamkan syarak seperti perjudian, gambar yang membuka aurat, menggalakkan kepada keganasan, membunuh diri dan sebagainya.
- Dibenarkan dan digalakkan: Sekiranya hiburan itu memberi kesan yang baik kepada individu dan masyarakat. Seperti pertandingan memanah dan permainan yang berfaedah untuk peperangan.