BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt,

Saya ada berberapa soalan yang mana ya bakal menentukan masa depan saya...

Baru-baru ini saya berniat untuk menghalalkan seorang wanita dan kami lalui fasa taaruf selama lebih 6-8 bulan. Alhamdulillah dalam tempoh tersebut saya sempat berjumpa dengan keluarga beliau dan juga rakan beliau.

Semasa tempoh perkenalan si wanita ada memberitahu saya bahawa ada berberapa perkara yang saya kena tahu sebelum kami meneruskan ke proses yang lagi serius (kahwin)

Dari situ saya dapat tahu yang dia merupakan salah seorang daripada tarikat samaniah. Si wanita juga ada bagitahu yang tarikat ini tidak sama seperti yang diceritakan didalam internet. tentang ajaran sesat mereka dan sebagainya semuanya di katakan tidak benar. 

Buat masa ini saya meminta izin dari beliau untuk memberi saya masa untuk fikir ke langkah seterusnya iaitu kahwin sama ada saya perlu menerima ajaran tersebut ataupun tidak.

Soalan saya mudah, bolehkah saya bernikah dengan dia?

Adakah tarikat samaniah boleh diamalkan selagimana/sekiranya tidak melanggar syariah atau melanggar mana-mana akidah masih boleh diamalkan? 

Perlu ke saya batalkan niat untuk bernikah dengan beliau sekiranya beliau tidak dapat meninggalkan ajaran tarikat tersebut?

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) kali 1/1998 yang bersidang pada 7 Feb 1998 telah membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti mengikut hukum yang muktabar didalam Islam dan keputusannya adalah seperti berikut:

  1. Ajaran dan amalan Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol didapati menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Oleh yang demikian, orang-orang Islam adalah dilarang mengamalkan ajaran itu.
  2. Orang-orang Islam yang telah mengambil ijazah dan mengamalkan Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol di ana-mana jua berada hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah SWT.

Antara ciri-ciri ajaran itu:

  • Sebelum seseorang murid diterima menjadi ahli, wajib mandi dengan air limau/ bidara untuk membersihkan dosa.
  • Bersedekah dan menghormati guru adalah menjadi satu kewajipan bagi murid-muridnya. 
  • Kitab Thabitul Qulub yang dijadikan kitab asas kepada tarikat berkenaan, didapati banyak yang bertentangan dengan pegangan umat Islam. 
  • Wirid-wirid dalam tarikat ini dikumpul di dalam buku Baitul lbadah yang mengandungi zikir-zikir yang disusun berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran, selawat, istighfar dan doa.
  • Terdapat 26 adat kesopanan murid kepada guru. Antaranya tidak boleh murid berkahwin dengan isteri guru yang diceraikan atau ditinggalkan mati.
  • Jika seseorang mati ketika berulang-alik ke tempat belajarnya untuk mempelajari tarikat berkenaan maka Tuhan sendiri yang akan mencabutkan nyawanya itu.
  • Sembahyang boleh dilakukan dengan niat sahaja (Sembahyang batin) atau boleh ditinggalkan semasa dalam kesibukan kemudian diqada".
  • Nikah boleh dilakukan tanpa wali dan saksi (Nikah batin).
  • Sembahyang fardhu diabaikan atau ditinggalkan kerana cukup dengan niat di hati.
  • Orang-orang yang belum masuk tarikat ini dianggap belum sempurna Islam mereka. Mereka diajak untuk diIslamkan oleh guru atau wakil tarikat ini.
  • Jika sudah masuk tarikat ini tidak perlu lagi pengajian ilmu-ilmu syariat.
  • Ajaran-ajaran dalam tarikat ini dirahsiakan daripada bukan pengikut. Tarikat ini juga disebut sebagai Ilmu Sirr (Rahsia).
  • Murid mesti patuh sepenuhnya kepada guru zahir dan batin, jika guru menyatakan jodoh seseorang pengikut itu dengan seorang yang lain maka ia perlu dipatuhi.
  • Syeikh Ibrahim Bonjol guru tarikat ini mendakwa mempunyai 'Mukjizat' iaitu dengan mengeluarkan air dari tangannya.
  • Pergaulan bebas antara bukan muhrim dibolehkan antara ahli jika dengan niat yang ikhlas.
  • Al-Quran dianggap sebagai sejarah sahaja.

Berdasarkan fatwa yang telah dinayatakan, ajaran dan amalan Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol jelas menyeleweng daripada ajaran Islam. Justeru, seseorang perlu mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam ajaran sebegini demi memelihara akidah dan agama. Perkahwinan dengan pasangan yang masih mengamalkan ajaran ini adalah dilarang kerana Islam mementingkan penjagaan maqasid syariah khususnya hifz ad-Din (memelihara agama) dan hifz an-nasl (memelihara keturunan).

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 83

message user image