Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum saya ingin bertanya. Baru-baru ini, saya ada melayari bank-bank soalan yang terdapat dalam website ini. Saya terjumpa satu soalan ini, https://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/b?id=2641, dan jujur, saya bukan mahu mempertikaikan jawapan yang diberikan oleh pihak tuan, namun saya agak keliru. Bukankah perbuatan lelaki tersebut, walaupun tidak melakukan penyembahan, namun berniat di dalam hatinya sendiri untuk dengan harapan untuk mendapatkan nombor ekor tambah-tambah lagi di tokong cina beserta dengan adanya orang cina di situ sendiri melakukan penyembahannya boleh membawa kepada kekufuran? Saya harap pihak tuan boleh jelaskan dengan lebih terperinci lebih lagi mengapa perkara tersebut tidaklah sampai jatuh hukum syirik. Itu saja soalan saya.
Jawapan
Syirik yang terkeluar daipada Islam adalah satu kepercayaan adanya tuhan selain daripada Allah SWT, atau kepercayaan adanya satu entiti yang mempunyai persamaan pada kuasa atau sifat dengan Allah SWT atau menyembah selain daripada Allah SWT.
Adapun perbuatan seseorang berjumpa tukang tilik, bomoh atau penyihir dan mempercayai apa yang dikhabarkan, termasuk dalam dosa besar dan solatnya tidak diterima selama 40 hari. Daripada Sofiyyah daripada sebahagian isteri Nabi SAW, sabda Baginda SAW:
Maksudnya: Sesiapa yang mendatangi tukang tilik dan membenarkan apa yang dikatakannya maka tidak diterima solatnya selama 40 hari. (Riwayat Muslim)
Juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesiapa yang mendatangi tukang tilik dan membenarkan apa yang dikatakannya maka dia telah mengingkari (kufur) terhadap apa yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. (Riwayat al-Baihaqi)
Berdasarkan kedua-dua hadis ini, dapat disimpulkan, sesiapa yang percaya dan membenarkan kepercayaan bomoh atau tukang tilik secara jazam (pasti) maka dia boleh menjadi kufur. Jika dia tidak membenarkannya sehingga peringkat jazam (pasti) maka dia masih lagi seorang muslim akan tetapi ibdadahnya tidak diterima selama 40 hari.
Bagi menjawab soalan yang diajukan, perbuatan orang tersebut tidaklah dikira syirik kerana tiada bukti yang menunjukkan dia percaya adanya tuhan selain daripada Allah SWT. Bahkan, tidak juga kelihatan orang tersebut sembah selain daripada Allah SWT. Akan tetapi, perbuatan tersebut dikira berdosa.
Sekian, terima kasih.