Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Seorang kanak-kanak pada usia 17 tahun mengaku melakukan zina bersama rakan sekolah yang berusia 15 tahun. Difahamkan perbuatan keji ini atas dasar suka sama suka. Kejadian pada bulan Ramadan, kedua-dua ditangkap oleh guru di tempat kejadian dalam keadaan masing masing lengkap berpakaian. Tiada sebarang saksi atas kejadian.
Kanak-kanak perempuan telah membuat laporan polis pada keesokkan harinya, kononnya telah dirogol. Berikutan dengan ini, tangkapan dibuat dan yang dituduh telah direman.
Selepas mendapat nasihat daripada beberapa peguam, ibu bapa tertuduh telah mengambil keputusan untuk membantu tertuduh untuk dibicarakan. Walaupun ibu bapa mempunyai sumber kewangan yang sempit, tapi tetap memilih untuk membantu anak kerana selain beranggapan itu adalah ujian, mungkin juga kifarah atas dosa-dosa mereka yang lalu. Tertuduh dituduh atas seksyen 376 jenayah rogol. Sepanjang prosiding bicara, kebanyakan saksi gagal membuktikan kejadian tersebut berlaku dan laporan doktor juga gagal membuktikan kejadian tersebut berlaku. Atas nasihat peguam, walaupun bukti tiada atas perlakuan, namun kerana usia mangsa bawah 15 tahun, ia akan diklasifikasikan sebagai 'statuory rape' dan tertuduh tetap bersalah. Ketika ini, bicara pada peringkat bela diri.
1. Apakah berdosa ibu bapa membantu anak yang dituduh?
2. Apakah hukuman atas puasa yang terbatal pada hari kejadian?
3. Apakan jalan penyelesaian terbaik untuk anak yang dituduh?
4. Apakah keputusan kedua ibu bapa itu wajar?
5. Apakah cadangan atau langkah yang terbaik dari sudut Islam untuk jalan penyelesaian ini?
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan:
1. Sekiranya ibubapa membantu membela anak yang dituduh berzina dan anak itu memang melakukan perbuatan zina tersebut, maka hukumnya adalah berdosa kerana membantu pada perkara maksiat dan dosa kepada Allah SWT. Namun sekiranya bantuan yang diberikan itu atas perkara teknikal perundangan atau bantuan itu bagi memudahkan urusan mahkamah dari sudut keadilan dan pentadbiran, contohnya untuk melancarkan urusan pengurusan di mahkamah dari sudut pendaftaran kes atau memastikan proses keadilan berjalan dengan adil atau memastikan individu dan orang yang dituduh mendapat pembelaan sebaiknya dan diadili mengikut proses undang-undang yang saksama, maka dalam hal ini ia tidak berdosa.
2. Perbuatan berzina pada siang hari bulan Ramadan adalah terbatal puasa serta dikenakan kafarah serta wajib disusuli dengan taubat. Hal ini kerana, seseorang itu bukan sahaja telah melakukan perbuatan yang mendatangkan dosa besar malah telah mencemarkan kemuliaan bulan tersebut. Dan kaffarah itu dikenakan kepada si lelaki iaitu memerdekakan hamba yang beriman. Jika dia tiada hamba, maka wajib baginya berpuasa dua bulan berturut-turut dan sekiranya tidak mampu hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin dengan satu cupak (makanan asasi) bagi setiap seorang.
3. Setiap manusia tidak terlepas dari kesalahan, dan taubat adalah jalan yang Allah SWT sediakan untuk hamba-Nya menginsafi dan menyesali serta kembali kepada Allah SWT dengan sepenuh jiwa. Ini sebagaimana hadis daripada Anas RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Setiap manusia pasti berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah orang yang bertaubat. (Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibnu Hibban)
4. Boleh rujuk jawapan soalan pertama (1) di atas.
5. Boleh rujuk jawapan soalan ketiga (3) di atas.
Sekian, terima kasih.