Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam ustaz. Kami telah berkahwin di thailand pada 24/10/21 sebagai isteri kedua. Pada september 2022, sy mengugut suami dgn meletakkan pisau di leher utk dia ceraikan sy. Dan dia lafaz. Bberapa hari selepas itu kami rujuk. Pada feb 2023 sy memaksa suami utk lafazkan cerai dan setelah dipaksa,suami lafazkan cerai dan kami rujuk sebulan kemudian. Kami tak daftarkan perkahwinan hingga tahun ni.
soalan sy. Kalau sy bercerai tahun ni, adakah kedua2 talak yg sebelum ni jatuh kerana suami sy mengatakan dia tiada niat tetapi telah diugut dengan senjata utk lafaz pertama dan dipaksa utk lafaz kedua. Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih.
Jawapan
Lafaz talak yang sorih (jelas) dan sempurna ayatnya, apabila dilafazkan oleh suami kepada isterinya, walaupun tanpa niat atau dalam keadaan marah yang tidak menghilangkan kewarasan atau dalam keadaan dipaksa secara ghair tam (tidak sempurna) yang tidak menyebabkan bahaya terhadap nyawa atau kehilangan angggota badan suami, maka lafaz tersebut boleh menyebabkan talak jatuh.
Walau bagaimanapun, di dalam menentukan sama ada paksaan bersama ugutan yang dilakukan oleh isteri dengan memukul, mencekik atau meletakkan pisau pada leher suami itu suatu paksaan yang tam (sempurna) yang menyebabkan talak tidak berlaku atau sebaliknya adalah bidang kuasa pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57.
Sekian, terima kasih.