BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

Apakah pandangan tuan mufti terhadap kitab Al-Dur Al-Nafis yang mengandungi akidah wahdatul wujud


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Kitab al-Durr al-Nafis karya Sheikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari ialah sebuah kitab yanng membicarakan tentang akidah, tasawuf dan tarekat. Ia juga mengandungi perbahasan tentang asma’ al-husna, sifat-sifat Allah, zat dan af’al Allah, makam-makam kaum sufi, ilmu hakikat dan lain-lain lagi. Objektifnya adalah untuk mengelakkan kaum Salik daripada melakukan syirik tersembunyi (syirik khafi), riya’, ujub, sum’ah dan lain-lain lagi serta mencapai matlamat utama iaitu mencari hakikat tentang Allah SWT. Namun berhubung isu wahdatul wujud yang terkandung dalam kitab ini pula ia perlu diteliti dan difahami dengan baik.

Secara asasnya wahdatul wujud terbahagi kepada dua bahagian iaitu wahdatul wujud yang diharuskan dan wahdatul wujud yang sesat:

1) Wahdatul wujud yang diharuskan ialah wahdatul shuhūd yang dikenali dalam ilmu tasawuf, kerana di sisi mereka, alam ini tidak wujud dengan berdiri sendirinya, akan tetapi tergantung kepada wujud Allah SWT yang qadīm yang berirādah atas segala perkara yang baharu (muḥdath) ini. Bukan menyatakan Allah SWT itu alam atau alam itu Allah SWT yang memberi maksud pantheism iaitu sebuah kepercayaan Yunani kuno bahawa Zeus (Tuhan Yunani) itu satu tapi mengandung banyak yang juga bermaksud banyak (alam) ini bercantum pada Zeus, atau yang banyak ini berkumpul menjadi satu dan dari satu itu kembali menjadi banyak.

2) Adapun wahdatul wujud yang sesat pula sebagaimana yang pernah dijelaskan oleh seorang ulama besar di Alam Melayu iaitu Syeikh Nūr al-Dīn al-Rānīrī (w. 1068H/1658M). Beliau menyebutkan di dalam kitabnya Hujjat al-Siddiq:

"Demikian lagi Wujūdiyah yang Muwaḥḥid itu iaitu segala Ahl al-Ṣūfī -dijadikan ḥaqq Ta‘ālā kiranya kita daripada qawm mereka- dan Wujūdiyah yang Mulḥid itu iaitu segala zindīq - Na‘ūdhu biLlāhi minhā. Adapun sebab dinamai Wujūdiyah itu Wujūdiyah kerana adalah bahasa dan perkataan dan i‘tiqād mereka iaitu pada wujūd Allāh.  Maka sekarang kunyatakan i‘tiqād dan madhhab Wujūdiyah yang Mulḥid dan Wujūdiyah yang Muwaḥḥid supaya kau bezakan antara i‘tiqād keduanya. Kata Wujūdiyah yang Mulḥid: bahawa wujūd itu Esa iaitulah wujūd Allāh. Maka wujūd Allāh yang Esa itu tiada ada ia Mawjūd Mustaqil sendirinya yang dapat dibezakan melainkan dalam kandungan sekalian makhlūqāt jua. Maka adalah makhlūqāt itu wujūd Allāh dan wujūd Allāh itu wujūd makhlūqāt. Maka ‘ālam itu Allāh dan Allāh itu ‘ālam. Bahawasanya adalah mereka itu menyabitkan wujūd Allāh yang Esa itu dalam wujūd segala makhlūqāt serta katanya tiada mawjūd hanya Allāh dan lagi dii‘tiqādkannya pada ma‘nā kalimah Lā Ilāha illaLlāh tiada ada wujūd kecuali hanya wujūd Allāh, maka dikehendakinya ma‘nānya tiada ada wujūd kecuali melainkan wujūd Allāh wujūd kecuali ini. Dan lagi pula katanya kami dengan Allāh sebangsa dan sewujūd, dan lagi pula katanya bahawa Allāh Ta‘ālā ketahuan dhātnya dan nyata Kayfiyahnya  dan Kammiyahnya daripada pihak ada ia mawjūd pada khārij pada zamān dan makān".

Penjelasan yang diberikan oleh Syeikh Nūr al-Dīn al-Rānīrī ini sangat jelas bahawa fahaman waḥdah al-wujūd yang sesat lagi menyesatkan itu ialah fahaman yang menyatakan Allah SWT dan alam ini satu (ittiḥād) atau Allah SWT berada pada makhluk (ḥulūl). Pemahaman seperti ini juga dikenali dengan pantheism yang wujud dalam kalangan ahli falsafah Yunani suatu ketika dahulu.

Oleh itu kitab ini membawa pengertian konsep wahdatul wujud yang diharuskan kerana membawa pengertian wahdatul shuhud di sisi ilmu tasawuf iaitu alam ini tidak wujud dengan berdiri sendirinya, akan tetapi tergantung kepada wujud Allah SWT yang qadīm yang berirādah atas segala perkara yang baharu (muḥdath).

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 77

message user image