Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz..saya nak tanya,(1) apakah hukum jika istri tidak redha kerana suami menafkahi ATST (anak tidak sah taraf) yang menyebabkan nafkah istri dan anak sah tertangguh/berhutang..ATST itu tinggal bersama bapa biologinya yang sudah berkahwin lain dan mempunyai anak perempuan..(2) Apakah hukum jika keluarga suami menyuruh ATST tadi menyentuh anak perempuan suami (bapa biologi ATST)?? Bolehkah dan berhakkah si istri tidak membenarkan dan tidak redha??
Tolong la ustaz ajukan jawapan/ulasan bagi soalan saya ini di dalam setiap ceramah atau youtube kerana masih ramai keluarga yang masih tidak faham tentang hukum ini hanya disebabkan oleh sudah sayang hingga mengetepikan halal haram dan yang mana kewajipan tan tanggungjawab..
Jawapan
1. Dalam Islam kewajipan memberi nafkah kepada anak tak sah taraf adalah terletak di atas tanggungjawab ibunya kerana hubungannya dengan bapa biologi adalah terputus. Jika ibu itu tidak mampu memberi nafkah maka kewajipan tersebut berpindah kepada waris sebelah ibunya, ini disebabkan anak tak sah taraf hanya dinasabkan kepada ibunya sahaja.
Oleh yang demikian, sekiranya bapa biologi menjaga dan memberi nafkah kepada anak tak sah taraf tersebut sehingga berlaku pengabaian dan penangguhan atau hutang terhadap nafkah kepada isteri dan anaknya sendiri, maka ia suatu kesalahan dari sudut kewajipan nafkah seorang suami atau bapa kepada isteri dan anak-anaknya sendiri.
2. Dari sudut aurat dan pergaulan anak tak sah taraf tersebut dengan anak perempuan bapa biologi itu adalah menjadi mahram, kerana masing-masing tiada sebarang kaitan nasab atau keturunan yang boleh menghalalkan batas aurat dan pergaulan antara lelaki dan perempuan.
3. Dalam prinsip Islam sudah pasti, umatnya wajib untuk tidak reda dalam apa jua perkara yang melanggar atau mencanggah dengan hukum syara dan berbincanglah dengan pihak suami puan, agar ada solusi bersama yang boleh diambil bagi merungkai permasalah yang berlaku ini.
Sekian, terima kasih.