Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan/Puan.
Seorang lelaki yang tidak memberi nafkah kepada anak (yang masih di bawah tanggungannya) dan isteri, dan hanya mahu memakan budi anak yang lain yang sudah bekerja untuk menanggung makan minum dan apa-apa keperluan keluarga, apakah hukumnya dan apa yang perlu anak yang bekerja itu lakukan untuk mengubah keadaan ini?
Adakah dibolehkan untuk anak yang bekerja itu untuk tidak menanggung beban mencari nafkah keluarga walhal ayahnya masih mampu mencari rezeki?
Bagaimana pula dengan zakat fitrah menjelang bulan Ramadhan nanti, adakah anak yang sudah bekerja yang perlu membayar zakat untuk satu keluarga daripada ayahnya itu?
Dan soalan yang terakhir, adakah salah sekiranya anak itu berasa marah kepada ayahnya kerana meninggalkan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa, dan melepaskan tanggungjawab itu kepada anak yang sudah bekerja?
Maaf kerana banyak soalan yang saya tujukan kepada Tuan/Puan di dalam satu borang ini tetapi saya ucapkan terima kasih lebih awal atas jawapan yang diberi.
Jawapan
Merujuk kepada soalan, seorang bapa yang masih mampu untuk bekerja dan mencari nafkah adalah wajib keatasnya untuk memberikan nafkah kepada anak-anak yang masih dibawah tanggungannya. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 233 :
Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. (Surah Al-Baqarah : 233)
Seterusnya seorang anak boleh menasihati bapanya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan mencari nafkah. Namun proses penasihatan itu perlulah dengan cara yang berhemah. Seorang anak juga tidak diwajibkan untuk mencari nafkah keluarga sekiranya bapa masih mampu untuk mencari nafkah. Walaubagaimanapun anak boleh membantu berbuat baik kepada ibu bapa bagi meringankan beban keluarga. Firman Allah SWT dalam surah Al-Isra' ayat 23 :
Maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.
(Surah al-Isra’: 23)
Manakala dalam urusan zakat fitrah pula, kewajipan menunaikannya adalah dibawah bapa sebagai ketua keluarga.
Sekian, terima kasih.