Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan. Saya memerlukan jawapan bagi membezakan haid dan istihadah saya.
9/2 - 16/2 - Haid bulan 2
17/2 - 23/2 - Bersih
24/2 - 6/3 - Keluar darah coklat kehitaman (sikit2 tapi ada)
7/3 - skrg - Keluar darah merah + lendir jernih (agak banyak)
Saya telah berpuasa dan solat seperti biasa dari 2/3 sehingga 11/3 kerana saya rasa itu merupakan tempoh suci 15 hari 15 malam saya yakni darah istihadah. Soalan saya bilakan tarikh haid saya seterusnya?. Adakah dari tarikh 12/3 hingga 27/3 itu merupakan tempoh haid saya? (Selepas tempoh suci 15 hari). Kebiasaannya tempoh haid saya hanyalah sebanyak 8 ke 9 hari sahaja. Ini merupakan kali pertama saya datang istihadah. Saya tidak tahu darah itu istihadah atau haid jadi saya puasa je disebabkan kekeliruan ini. Adakah sah puasa tu?.
Terima kasih atas jawapan yang diberikan. Semoga jawapan yang diberikan dapat membantu saya menyelesaikan kekeliruan ini.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan dan panggilan telefon:
9/2/2025 hingga 16/2/2025: 7 hari merupakan darah haid
17/2/2025 hingga 23/2/2025: 8 hari merupakan tempoh suci, tetapi tidak mencukupi tempoh minimum suci. Jadi, ia perlu kepada menyempurnakan baki suci pada hari berikutnya.
24/2/2025 hingga 6/3/2025: 10 hari darah yang keluar hanya coklat dan sedikit-sedikit sahaja. Ia dianggap sebagai darah istihadhah atau tempoh suci bagi menyempurnakan baki suci serta mengikut adat suci puan sebelum ini adalah 20-22 hari.
7/3/2025 - 14/3/2025: 8 hari merupakan kitaran darah haid yang baru merujuk kepada panggilan telefon darah yang keluar tersebut adalah tidak melebihi 15 hari 15 malam tempoh maksimum haid.
Jadi, puasa puan pada 2/3/2025 hingga 6/3/2025 sahaja yang sah, manakala 7/3/2025 hingga 11/3/2025 adalah tidak sah kerana ia merupakan tempoh kitaran haid yang baru.
Sekian, terima kasih.