Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya wanita berumur 26 tahun. Saya period pada 1hb-8hb pada bulan puasa. Sehingga 13hb tiba tiba saya mempunyai spotting coklat. Tiada kesan pada seluar dalam, hanya apabila saya membuang air kecil sahaja ia keluar dan pada satu waktu sahaja. Tidak berpanjangan seharian. Bagaimanakah status puasa saya pada 8hb-13hb itu? 13hb dan 14hb kelihatan cecair coklat tersebut, juga pada satu waktu sahaja, tidak berpanjangan seharian.
Jawapan
Naqa’ ialah keadaan tempoh terputus darah mengalir keluar dan tidak kelihatan kesan darah (suci) pada kapas setelah dimasukkan ke dalam faraj. naqa’ tersebut akan dikira haid sekiranya memenuhi beberapa syarat-syarat yang ditetapkan. Semasa wanita mengalami masa naqa’ (berhenti di celah-celah antara darah) sewaktu dalam tempoh haid terbahagi kepada dua:
1. naqa’ dalam keadaan haid iaitu:-
Masa naqa’ (terputus-putus) yang berada dicelah-celah sekurang-kurang haid (24 jam) dan maksimum haid (15 hari) dihukumkan sebagai haid kerana naqa’ mengikut waktu darah haid dengan memenuhi syarat-syarat berikut:
• Masa naqa’ (terputus) yang berada dicelah-celah antara darah haid yang keluar tidak melebihi maksimum 15 hari.
• Masa naqa’ antara celahan darah yang keluar mestilah termasuk himpunan darah yang keluar tidak kurang daripada sekurang-kurang haid (24 jam).
• Masa naqa’ mestilah berada di tengah celahan di antara 2 darah.
Sekiranya seseorang wanita melihat darah keluar serta masa naqa’ (terputus/terhenti) itu berada di antara celah-celah darah sebagaimana syarat di atas, maka tempoh naqa’ itu turut dihukumkan sebagai tempoh haid.
2. naqa' dalam keadaan suci iaitu:-
• naqa’ yang datang selepas darah terakhir berhenti keluar dihukumkan sebagai masa suci tanpa khilaf ulama. Sebagai contoh hari terakhir pada hari ketujuh selepasnya tiada darah.
• naqa’ di celah himpunan haid yang kurang sehari semalam, dianggap darah fasad (istihadhah).
• Sekiranya, bertambah naqa’ antara darah yang keluar melebih 15 hari adalah darah istihadhah.
Berdasarkan soalan dan keterangan yang dinyatakan, permasalahan ini dikategorikan sebagai naqa' dalam keadaan haid. Ini kerana telah memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di atas. Walaupun begitu semasa naqa' itu adalah wajib mandi dan solat dengan anggapan haid telah berhenti kerana kita tidak tahu apakah darah akan datang lagi atau tidak. Jika datang pula darah selepas itu tetapi masih dalam lingkungan di bawah 15 hari maka barulah nyata haid belum tamat. Begitulah yang dilakukan setiap kali naqa' (mandi dan solat).
Oleh itu, solat atau puasa yang dilakukan semasa naqa' itu terbatal dan puasa perlu diqada’ manakala solat tidak perlu diqada'. Seseorang tidak berdosa jika solat atau puasa semasa tempoh naqa' walaupun setelah itu ternyata naqa' itu dikira sebagai tempoh haid.
Hadis yang diriwayatkan daripada Mu’adzah RA, beliau berkata:
Maksudnya : Aku bertanya kepada ‘Aisyah RA, mengapa orang haid wajib qada’ puasa, tetap tidak wajib qada’ solat?. Jawab ‘Aisyah, apakah kamu orang Haruriyah? Jawabku, bukan, aku bukan Haruriyah! Tetapi aku bertanya. Jawab ‘Aisyah, itulah suatu keuntungan bagi kita (wanita). Kita diwajibkan mengqada’ puasa tetapi tidak diwajibkan mengqada’ solat. (Riwayat Muslim)
Sekian, terima kasih.