Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Saya mahu bertanya, jika saya mempunya simpanan emas emas tulen (bukan perhiasan/tidak digunakan setiap hari) sebanyak 60 gram (lebih setahun) dan saya menambah beli emas tulen sebanyak 100 gram secara ansuran selama 10 bulan, adakah zakat yang saya perlu bayar dikira dari tarikh bulan pertama saya membeli emas 100 gram itu, ataupun zakat yang perlu saya bayar adalah selepas saya sempurna membayar ansuran 10 bulan itu? tarikh simpanan 1 tahun itu dikira seperti mana?
Terima kasih
Jawapan
Secara asasnya, emas bukan perhiasan (غير الحلي) adalah emas yang dimiliki bukan untuk perhiasan sama ada dalam bentuk mata wang, jongkong, tempa, barang kemas dan seumpamanya. Zakat diwajibkan apabila cukup nisab dan haulnya setahun sebagaimana dijelaskan dalam kitab al-Majmu’ Syarh Muhazzab:
مَذْهَبُنَا وَمَذْهَبُ مَالِكٍ وَأَحْمَدَ وَالْجُمْهُورِ أَنَّهُ يُشْتَرَطُ فِي الْمَالِ الَّذِي تَجِبُ الزَّكَاةُ فِي عَيْنِهِ وَيُعْتَبَرُ فِيهِ الْحَوْلُ كَالذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْمَاشِيَةِ وُجُودُ النِّصَابِ فِي جَمِيعِ الْحَوْلِ
Maksudnya: Menurut Mazhab kami (Syafi’i), mazhab Malik, Ahmad dan Jumhur, disyaratkan bahawa dalam harta wajib dikeluarkan zakat daripadanya apabila cukup haul (setahun) seperti zakat emas dan perak, ternakan ia mesti cukup nisab sepanjang tahun penuh.
Ia dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah yang ada sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya iaitu 85gram serta cukup haul setahun.
sebagai contoh:
Timbangan emas x harga semasa x 2.5% = Jumlah zakat
100gram x RM414.12 x 2.5% = RM1,035.30
Tuan juga boleh merujuk laman sesawang Lembaga Zakat Selangor untuk mendapatkan jumlah sebenar bayaran emas di pautan berikut:
https://fpx.zakatselangor.com.my/
والله أعلم بالصواب
Sekian. Terima kasih.