Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya ingin bertanya, jika saya membersihkan lubang dubur dengan memasukkan jari sedikit, adakah puasa saya terbatal?
Hal ini kerana masih trdapat najis di ruang dubur jikalau tidak membersihkan menggunakan jari
Mohon pencerahan. Terima kasih
Jawapan
Antara perkara yang membatalkan puasa ialah memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka. Kemaluan depan dan belakang (qubul dan dubur) merupakan antara rongga yang terbuka. Had yang membatalkan puasa ialah had batin. Merujuk kepada bahagian kemaluan, menurut al-Bujairimi had batin bagi kawasan dubur ialah melebihi bahagian yang wajib dibasuh ketika beristinjak. Oleh itu, sekiranya tuan mengorek dubur menggunakan jari sehingga mencapai had tersebut, ianya boleh membatalkan puasa. Tuan dinasihatkan agar tidak melakukan perbuatan sedemikian ketika berpuasa.
Bagi mencuci dubur daripada najis ketika berpuasa, cukup sekadar memancutkan air ke dubur bagi tujuan membasuhnya dan menggosok bahagian luarannya sahaja. Perbuatan ini tidak membatalkan puasa kerana kebiasaannya ia tidak sampai ke bahagian had batin.
Sekian, terima kasih