BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt.

1. Saya sering merasakan ada makanan di kerongkong dan di tekak saya yang masih tidak hilang walaupun setelah minum air dan berkumur pada waktu sahur. Saya sudah cuba mengeluarkannya, namun ia masih di situ. Jika saya telan juga air liur, adakah akan membatalkan puasa?

2. Saya sering alami gusi berdarah dan sering ke tandas untuk berkumur. saya mengalami keadaan yang tidak menentu di mana apabila mulut ada rasa darah, apabila dibuang air liur, ada kala ianya bersih, dan adakala ia bercampur darah. Jika saya telan juga air liur dengan anggapan rasa darah yang sedikit itu adalah was2, dan hanya buang dan berkumur jika memang ada kesan darah yang jelas, adakah puasa saya tetap batal?

3. Pernah juga berlaku, saya telan juga air liur walaupun ada rasa seakan-akan darah, kerana beranggapan rasa itu hanya was2, dan sebelum ini pun apabila ada rasa yang begitu, kemudian apabila dibuang air liur, air liur itu bersih. Tapi kali ini, apabila saya buang air liur sekali lagi, terdapat kesan darah. Adakah puasa saya telah terbatal?

3. Jika sewaktu solat, sy membuang air liur berdarah dgn menggunakan kain, adakah dengan memegang kain yang ada darah itu sepanjang solat menyebabkan sy dikira menanggung najis? Bagaimana pula status solat saya?

 

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Perlu diamati dengan baik bahawa perkara yang berlaku atas dasar rasa-rasa atau ketidakpastian tidak boleh diletakkan hukum terhadapnya. Malah perkara sedemikian perlu diabaikan kerana ia bakal menyusahkan diri sendiri. 

Salah satu hikmah penciptaan air liur berperanan memudahkan proses pengunyahan dan penelanan makanan. Oleh itu, tiada makanan atau pengumpulan sisa makanan yang bakal berada di kerongkong melainkan seseorang itu mendapati dirinya sukar untuk bernafas akibat terdapat sesuatu yang menghalang saluran tersebut. 

Perasaan terhadap sisa makanan yang sukar dikeluarkan tersebut hanyalah sekadar was-was. Selagi tiada bukti jelas bahawa tuan benar-benar menelan sisa makanan seperti menelan sisa makanan yang terdapat di kawasan mulut secara langsung , maka puasa tuan adalah  sah.

2. Jika rasa darah itu hanya sedikit dan puan ragu-ragu (was was), maka puasa tidak batal kerana hukum asal bagi air liur adalah suci. Berkumur atau membuang air liur yang jelas terdapat kesan darah adalah memadai dan puasa tuan tetap sah.

3. Mohon rujuk semula perkara 1 dan 2. 

4. Solat dalam keadaan mengetahui pakaian atau kain yang digunakan terdapat kesan najis seperti darah adalah dianggap menanggung najis dan membatalkan solat. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 20

message user image