Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum Tuan/Puan. Saya mengalami masalah keputihan, setiap kali waktu solat saya akan membersihkan diri dari najis tersebut. Akan tetapi apabila saya kerap membersihkan kemaluan tersebut, kemaluan saya menjadi kering dan sakit. Jadi, Tuan/Puan apakah yang patut saya lakukan? Bolehkah sekiranya saya cuma memperbaharui wuduk saya saja untuk setiap kali waktu solat? Mohon pihak Tuan/Puan dapat membalas soalan ini dengan segera, saya memerlukan jawapan untuk permasalahan ini. Sekian, Terima Kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, bagi individu yang sentiasa berada dalam keadaan berhadas, seperti mereka yang mengalami masalah hadas berterusan (contohnya, istihadah, kencing tidak lawas, atau keluarnya angin dari qubul atau dubur tanpa kawalan atau masalah keputihan bagi perempuan), tidak diwajibkan untuk mencuci berulang kali setiap kali hadas berlaku. Sebaliknya, mereka hanya perlu membersihkan diri dan mengambil wuduk selepas masuk waktu solat, kemudian boleh menunaikan solat dengan wuduk tersebut walaupun hadas masih berterusan sepanjang tempoh solat.
Mereka ini dikategorikan sebagai golongan yang ‘uzur’ dalam erti kata yang lainnya terdapat hukum yang khusus buat golongan ini dalam bab taharah dan ia termasuk dalam perbincangan keadaan seseorang yang daimul hadas iaitu sentiasa berhadas. Maka bagi keadaan sebegini, pesakit perlu merujuk kaedah berikut dalam pelaksanaan ibadah solat:
a) Sucikan diri daripada najis dan gunakan lampin atau seumpamanya pada tempat keluar najis.
b) Setelah itu sucikan diri daripada hadas dengan mengambil wudhu’ atau mandi wajib. Kedua-duanya mesti dilakukan setelah masuk waktu solat.
c) Segera tunaikan solat. Solat adalah sah dan tidak perlu diulang walau pun najis tetap keluar ketika sedang berwudhu` dan solat.
d) Satu wudhu` hanya boleh digunakan untuk satu solat fardhu sahaja dan seberapa banyak ibadah sunat yang lain.
e) Ketika mengambil wudhu` hendaklah ia berniat untuk mengharuskan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang mensyaratkan wudhu`. Contohnya; ia meniatkan di dalam hati; “Sahaja aku mengambil wudhu` untuk solat kerana Allah Taala”.
Sekian, terima kasih.