Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Asalamualaikum tuan, saya ada persoalan mengenai haid dan puasa. pada suatu ketika dahulu, saya pernah mengalami situasi di mana saya terpaksa menggantikan puasa selama sebulan akibat kitaran haid yang tidak tetap dan mengelirukan (darah haid berwarna coklat dan merah keluar dua kali (selama lebih 5 hari) pada tempoh yang berbeza dalam sebulan. Setelah mendapatkan rawatan dan mengambil ubat hormon, darah keluar seperti biasa (sekali sebulan). Walaubagaimanapun, saya telah berhenti mengambil ubat tersebut dua bulan yang lalu dan saya dapati darah haid akan keluar pada satu tarikh yang sama seperti ia keluar sewaktu ubat diambil (9 haribulan pada setiap bulan) dan selalunya akan keluar tanda coklat (isnin) sebelum hari seterusnya yang keluar merah terang (selasa). Namun, pada kali ini, darah telah keluar pada tarikh yang sama iaiatu 9 haribulan tapi darah yang keluar masih coklat kehitaman dan hanya sedikit calitan merah pudar sahaja (sudah empat hari) tanpa bau haid yang seperti selalu. Persoalan saya,
1. adakah ini masih dikira sebagai haid?
2. dan sekiranya pada masa akan datang dalam bulan ini, ada darah yang keluar, sama zatnya seperti haid yang saya selalu alami (merah terang berserta bau), adakah itu juga dikira haid walaupun sudah memasuki tempoh suci? bagaimana perlu saya gantikan puasa saya?
Jawapan
Ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa haid boleh dikenal pasti melalui tempoh (tempoh maksimum haid 15 hari 15 malam manakala tempoh maksimum suci daripada haid adalah 15 hari) dan warna darah yang keluar seperti kehitaman, merah, kuning atau warna keruh dan berbau.
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
1) Warna coklat kehitaman merupakan tanda darah haid diikuti ia keluar sesuai kebiasaan tempoh haid. Maka, bermula 9hb sehinggalah maksimum 15 hari (berakhir 23hb), maka darah yang keluar dikira haid. Justeru, dalam tempoh tersebut tidak boleh solat mahupun berpuasa.
2) Sekiranya selepas 23hb masih ada darah yang keluar, ia dianggap istihadah. Bermula 24hb perlu mandi wajib dan melaksanakan solat serta berpuasa. Puasa yang perlu diganti hanyalah mengikut bilangan hari haid sahaja.