BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada baca yang kalau tertelan air liur bersama rasa makanan seperti kuah kari atau sos cili semasa sedang berpuasa akan menyebabkan puasa terbatal jika kita tidak cuba meludah air liur itu dan berkumur terlebih dahulu. Soalan saya ialah, untuk puasa pada tahun lepas, saya teringat ada makan kurma sahaja untuk sahur dan tidak sempat berkumur sebelum azan Subuh dan cuma sempat minum air. Saya ingat ada rasa macam ada rasa manisan kurma di dalam mulut dan saya telan bersama air liur ketika sedang berpuasa (tapi saya dah pastikan tiada sisa buah kurma itu sendiri di dalam mulut). Adakah batal puasa itu? Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Puasa adalah menahan diri dari melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula terbit fajar (waktu subuh) sehingga terbenam matahari (waktu maghrib) dengan niat berpuasa. Di antara perkara yang membatalkan puasa adalah memasukkan sesuatu ke dalam badan melalui rongga terbuka iaitu mulut, hidung, telinga dan dua kemaluan.

Telah disebutkan di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ‘Ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i bahawa:

“Sisa-sisa makanan di celah-celah gigi yang tertelan bersama air liur, tidak membatalkan puasa sekiranya susah membeza dan meludahkannya kerana ada halangan dan tanpa kecuaiannya. Jika tiada kesulitan sedemikian, puasanya batal disebabkan kecuaiannya.”

Justeru, difahami bahawa sekiranya terdapat sisa-sisa makanan di celah-celah gigi yang tertelan bersama air liur, maka ia tidaklah membatalkan puasa seseorang. Hal ini jika sekiranya susah untuk membezakan dan meludahkannya disebabkan ada halangan dan ia berlaku bukan kerana kecuaiannya, dan jika sekiranya kuantitinya adalah sedikit. Sebaliknya, jika kuantiti sisa-sisa makanan adalah banyak, dan dia mampu untuk meludahnya, tetapi dia tidak meludahnya, maka ia membatalkan puasa.

Berdasarkan soalan yang diajukan, jika rasa manisan kurma tersebut dalam kuantiti yang sangat sedikit serta menyukarkan untuk membeza dan meludahkannya, maka ia tidak membatalkan puasa. Namun, sekiranya lebihan sisa makanan itu dalam kuantiti yang banyak, maka batal puasa tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 24

message user image