BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamulaikum ustaz,saya nak bertanya saya solat subuh tadi ayah saya kejutkan pukul 6 30 pagi tapi saya sengaja tidur balik Dan bangun Dalam 6 50 lebih selepas ITU saya solat Dan Dalam  sujud saya lamakan sebab nak berdoa tetapi Lepas saya habis solat itu saya melihat matahari Sudah terbit adakah batal solat saya 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, antara perkara yang membatalkan solat adalah;

  1. Keluar/kedatangan hadas besar atau kecil.
  2. Berkata-kata dengan sengaja walau sedikit yang memberi faham, atau ketawa.
  3. Makan/minum walau sedikit.
  4. Melakukan pergerakan di luar rukun solat tiga kali berturut-turut(mutawaliyat).
  5. Berniat keluar dari solat
  6. Terkena najis yang tidak dimaafkan pada badan, pakaian dan tempat solat.
  7. Beralih arah dari kiblat dengan sengaja (berpaling dada).
  8. Terbuka aurat dengan sengaja, atau tidak sengaja tetapi tidak segera ditutup.
  9. Berubah niat dari satu solat ke solat yang lain.
  10. Meninggalkan rukun solat.
  11. Murtad

Justeru, hukum solat yang dikerjakan tersebut tidak batal. Hal ini kerana tiada perkara yang membawa kepada batalnya solat tersebut. Walau bagaimanapun, setiap solat terdapat padanya waktu bermula dan waktu berakhir solat. Dalam hal ini tuan masih lagi solat dalam waktunya dan berakhir solat ketika sudah keluar dari waktunya. 

Di dalam kitab Al-Fiqh Al-Manhaji, para penulisnya menyebutkan: Ketahuilah bahawa sesiapa yang mengerjakan separuh solatnya di dalam waktunya, dan sebahagian lain berlaku di luar waktu solat, maka sekiranya telah dilakukan satu rakaat di dalam waktu maka solat itu dikira sebagai adaa’. Sekiranya tidak (kurang dari satu rakaat) maka ia dianggap sebagai qadha’. Dalilnya adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ أَدْرَكَ مِنَ الصُّبْحِ رَكْعَةً قَبْلَ أَنْ تَطْلُعَ الشَّمْسُ فَقَدْ أَدْرَكَ الصُّبْحَ، وَمَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنَ الْعَصْرِ قَبْلَ أَنْ تَغْرُبَ الشَّمْسُ فَقَدْ أَدْرَكَ الْعَصْرَ

Maksudnya: Sesiapa yang sempat melakukan satu rakaat solat Subuh sebelum terbitnya matahari maka dia telah sempat melakukan solat Subuh. Dan sesiapa yang sempat melakukan satu rakaat dari solat Asar sebelum terbenamnya matahari maka sesungguhnya dia telah mencapai solat Asar.

Riwayat Al-Bukhari

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 35

message user image