Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum, saya baru melahirkan bayi 3 bulan lepas dan saya ada pakai alat pencegah kehamilan, iucd. semenjak saya pakai, saya perasan akan ada pendarahan tetapi ianya bukan lah darah seperti darah period kerana ia darah yang pucat jadi saya anggap itu ialah darah istihadah. bulan ni pun ada keluar dan saya anggap itu adalah darah istihadah, tetapi harini sudah masuk hari ke 6 darah tersebut keluar dan biasanya pada waktu maghrib hingga malam, darah tersebut akan bewarna pekat seperti darah period. persoalannya, adakah solat dan puasa saya sah?
Jawapan
Ingin dijelaskan terlebih dahulu bahawa haid boleh dikenal pasti melalui tempoh (tempoh maksimum haid 15 hari 15 malam manakala tempoh maksimum suci daripada haid adalah 15 hari) dan warna darah yang keluar seperti kehitaman, merah, kuning atau warna keruh dan berbau.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, pemakaian IUCD boleh sahaja menganggu kestabilan hormon seseorang wanita sehingga memberi kesan kepada kitaran haid. Dalam kes yang dinyatakan, didapati bahawa darah yang keluar tersebut adalah haid kerana tempohnya adalah normal mengikut perkiraan haid.
Sebagai tambahan, cara menentukan sama ada ia darah haid atau istihadah adalah dengan mengenalpasti ciri-ciri darah tersebut di samping keluarnya pada waktu kebiasaan haid atau tidak. Disarankan agar setiap kali berlaku pendarahan, hendaklah direkod supaya mudah untuk dirujuk apabila berlaku perkara yang sama. Ini kerana setiap wanita pasti lebih mengenali keadaan darahnya sendiri dan ia tidak sama antara seorang wanita dengan wanita yang lain disebabkan faktor perbezaan hormon, umur, pemakanan, persekitaran dan sebagainya yang boleh mempengaruhi kondisi tubuh badan masing-masing.
Justeru, sebagaimana yang telah dinyatakan di atas, ia adalah haid dan tidak boleh untuk menunaikan solat serta berpuasa sehinggalah suci daripada haid.