Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan,
Saya nak bertanya satu soalan. Bolehkah seorang bapa membayar zakat untuk anak lelaki dan menantu anak perempuannya. Adakah sah zakat yang dibayar oleh beliau. Perlukah anak lelaki beliau membayar sekali lagi untuk diri dan isterinya.
Sekian, Terima Kasih.
Jawapan
Zakat fitrah wajib ke atas seseorang yang memenuhi syaratnya. Seseorang yang wajib memberi nafkah kepada tanggungannya, dia juga wajib membayar zakat fitrah bagi orang yang ditanggungnya. Sebagai contoh, seorang bapa wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi anaknya yang belum baligh dan masih belum mampu untuk bekerja kerana dia wajib memberikan nafkah kepada anaknya itu.
Berbeza pula keadaannya jika anak sudah baligh dan mampu untuk bekerja, maka ketika itu kewajipan nafkah sudah gugur dari bapanya. Oleh itu, bapanya tidak lagi wajib membayar zakat fitrah bagi pihaknya.
Dalam konteks ini, jika seorang bapa membayar zakat fitrah untuk anak dan menantunya, dan sudah mendapat keizinan dari pihak anak dan menantu terlebih dahulu, maka zakat fitrah tersebut adalah sah. Adapun sekiranya dia tidak mendapatkan keizinan dari pihak anak dan menantu terlebih dahulu, maka zakat fitrah tersebut tidak sah dan perlu dibayar semula.
Sekian, terima kasih.