Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
SOALAN TENTANG HAID
Hari pertama haid saya ialah 6 Mar hingga 13 Mar (8 hari). Pada 18 Mar (selepas 5 hari putus haid) saya dapati darah keluar bersama dgn keputihan yg keruh, darah tu hanya sedikit seperti setitik sahaja.
Adakah puasa saya batal dan tidak boleh solat?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, sebanyak-banyak tempoh haid adalah 15 hari 15 malam. Darah yang cukup sehari semalam dan tidak melebihi 15 hari 15 malam , ia keluar dalam waktu yang boleh didatangi haid (Imkan al-haid) kesemuanya adalah haid walaupun sifatnya berbeza dan menyalahi adat sebelumnya. Seperti keadaan puan, darah yang keluar semula masih dalam tempoh yang tidak melebihi tempoh maksimum haid. Ia masih dianggap haid, maka puasa pada hari tersebut adalah tidak sah kerana haid. Hanya bilangan puasa yang ditinggalkan sahaja yang perlu diganti tanpa menggantikan solat kerana haid.
Sekian, terima kasih.