Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, pada suatu hari ,saya membuang hadas besar kemudian saya membasuhnya dengan menyemburkan air sahaja sehingga bersih lalu saya memakai seluar.
Tiba tiba saya rasa nak periksa semula dubur saya menggunakan jari. Apabila saya periksa, didapati jari saya terdapat bau tetapi najisnya tiada. Saya selama ini tidak pernah membersihkan dubur saya menggunakan jari hanya menyemburnya dengan air sahaja. Adakah selama ini dubur saya telah suci ataupun masih najis kerana masih terdapat bau?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diutarakan, cara beristinjak paling afdhal di dalam Islam adalah menggunakan kedua-dua alat bersuci iaitu bahan kesat seperti batu dan tisu, kemudiannya barulah dibasuh dengan air tanpa tangan menyentuh dubur. Hal ini kerana, ‘ain najis akan dihilangkan dulu dengan bahan kesat, kemudian sisa-sisa kesan najis akan dibersihkan pula dengan basuhan air.
Para ulama’ telah menerangkan cara yang afdhal dalam melakukan istinjak tersebut. Caranya adalah dengan menghilangkan terlebih dahulu ‘ain najis itu dengan bahan yang kesat, kemudian dibasuh dengan air bagi menghilangkan sisa-sisa kesan najis tersebut tanpa menyentuh najis tersebut menggunakan tangan.
Hal ini sepertimana yang disebut di dalam kebanyakan kitab-kitab Fiqh al-Syafie, antaranya yang disebutkan oleh Imam Khatib al-Syarbini dalam kitabnya, al-Iqna’:
والأفضل أن يستنجي بالأحجار أو ما في معناها ثم يتبعها بالماء لأن العين تزول بالحجر أو ما في معناه، و الأثر يزول بالماء من غير حاجة إلى مخامرة النجاسة
Maksudnya: Dan cara yang paling afdhal adalah dengan beristinjak terlebih dahulu menggunakan batu atau benda yang seumpamanya, kemudian diikuti pula dengan basuhan air. Hal ini kerana ‘ain najis tersebut akan hilang dengan batu atau benda yang seumpamanya, manakala sisa-sisa kesan najis itu akan hilang dengan basuhan air tanpa perlu untuk bersentuhan dengan najis.
Sekiranya telah meyakini dengan melalukan air ke dubur dapat membersihkannya daripada najis maka, kawasan tersebut telah suci daripada najis dan tidak perlu diragui. Jika didapati masih terdapat bau padanya, maka hendaklah dibasuh semula sehingga hilang bau tersebut.
Oleh itu, jika mampu, sebaiknya kita mengamalkan cara istinjak yang afdhal ini dalam kehidupan seharian. Selain mengekalkan kebersihan diri, ia juga membuktikan bahawa Islam sangat mementingkan kesucian dan kebersihan.
Sekian, terima kasih.