Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum, Tuan. Saya seorang wanita yang kini sedang hamil anak pertama. Pada hari pertama puasa harini, saya tahan lapar seperti biasa sahaja tetapi saya risaukan keselamatan bayi dalam kandungan kerana sudah mula rasa seperti senak-senak perut. Oleh sebab itu, saya mengambil keputusan untuk buka puasa. Soalan saya, adakah saya hanya perlu mengqada puasa dan membayar fidyah, atau salah satu sahaja? Mohon pencerahan dari Tuan. Terima kasih, assalammualaikum.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Di dalam syariat Islam terdapat konsep rukhsah iaitu keringanan hukum disebabkan keuzuran. Rukhsah ini juga berlaku dalam permasalahan ibadah puasa bahkan terdapat perbahasan yang merangkumi perihal keuzuran yang dibenarkan untuk berbuka puasa seperti keuzuran berpuasa bagi wanita yang mengandung dan menyusukan anak. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT memberi keringanan kepada orang yang musafir dengan separuh solat, wanita mengandung dan wanita yang menyusukan anaknya. (Riwayat al-Tirmizi)
Namun begitu, keuzuran tidak berpuasa bagi keadaan ini hanya diberikan sekiranya terdapat kebimbangan serta implikasi negatif terhadap diri sendiri, kandungan atau bayi yang disusukan.
Merujuk kepada kenyataan Imam Abu Syuja’ di dalam Matan al-Ghayah wa al-Taqrib:
Maksudnya: Wanita mengandung dan menyusukan anak; sekiranya mereka bimbangkan dirinya lalu dia berbuka puasa dan wajib bagi dirinya menggantikan puasa. Namun jika bimbangkan (keselamatan) anaknya lalu dia berbuka dan wajib baginya menggantikan puasa dan kaffarah (bayar fidyah) sebanyak satu cupak untuk satu hari.
Menurut mazhab Syafi’i, wajib qada’ dan perlu membayar fidyah bagi perempuan hamil atau menyusu yang meninggalkan puasa jika mereka takut kesihatan janin atau anaknya yang disusukan sahaja mengikut pendapat muktamad.
Memandangkan puan berbuka puasa disebabkan bimbang kepada kesihatan anak, maka puasa wajib diqada' beserta fidyah bagi setiap hari tidak berpuasa atas sebab tersebut.
Sekian, terima kasih.