BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum saya nak tanya.

1. Jika ada seluar yang ada tag dibuat dari kulit tapi tidak tahu dari kulit apa sebab ia sudah reput, tetapi risau ianya dibuat dari kulit babi, adakah perlu saya bertanya kepada company tersebut kerana jenama itu agak terkenal dengan penggunaan kulit babi. Tetapi ada juga menggunakan kulit lain. 
seluar itu sudah bertahun-tahun dibeli dan juga sudah dibasuh bercampur dengan baju lain. Persoalannya, perlukah saya bertanya kepada company itu untuk kepastian? Dan jika tag itu diberbuat dari kulit babi, apa perlu saya buat sebab tidak pasti di mana najis itu berada dan sudah lama dibeli seluar itu.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, Islam meletakkan sesuatu hukum itu adalah berdasarkan kepada sesuatu yang jelas, nyata dan yakin sahaja. Sehubungan itu, jika kita menghukumkan sesuatu adalah bernajis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan. 

Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu tidak bernajis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka kekal bersih dan suci. Oleh itu, jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was berkaitan tag seluar tersebut diperbuat daripada babi, maka seluar tersebut adalah kekal bersih dan suci. Sehubungan itu ia tidak perlu disertu serta tidak menajiskan pakaian yang lain apabila dibasuh dan bercampur dengan pakaian yang lain. 

Jika hanya ragu-ragu tanpa bukti yang kukuh, tidak wajib bertanya kepada syarikat mengenai bahan asal tag itu.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 28

message user image