BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

saya nak tanya, SAH KE PUASA SESEORANG KALAU DIA MENONTON VIDEON LUCAH DAN DIA BERONANI SEKEJAP TAPI WAKTU DIA BERONANI TU TAK KELUAR AIR MANI TAPI SELEPAS BEBERAPA SAAT BARU TERKELUAR AIR MANI. ADAKAH SAH PUASA NYA?


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia. Setiap umat Islam dituntut agar menjaga kesucian bulan ini dengan memelihara diri daripada sebarang perkara keji dan mungkar. Sesungguhnya melakukan perbuatan maksiat ketika bulan Ramadhan menjadikan ibadah puasa menjadi sia-sia. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَكَمْ مِنْ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Maksudnya: Berapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan berapa ramai orang yang bangun malam tidak mendapat apa-apa daripada ibadahnya itu melainkan sekadar berjaga malam. (Riwayat Ahmad)

Berhubung persoalan yang dibangkitkan pula, perbuatan onani adalah perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Justeru tindakan beronani pada siang ramadhan sehingga mengeluarkan air mani adalah membatalkan puasa. Hal ini dijelaskan oleh Imam Nawawi di dalam al-Majmu' Syarh al-Muhazzab:

إذَا اسْتَمْنَى بِيَدِهِ وَهُوَ اسْتِخْرَاجُ الْمَنِيِّ ‌أَفْطَرَ ‌بِلَا ‌خِلَافٍ ‌عِنْدَنَا

Maksudnya: Sekiranya seseorang beronani dengan tangannya iaitu mengeluarkan air mani, maka puasanya batal tanpa ada khilaf antara fuqaha mazhab al-Shafi’i.

Walaupun air mani tidak keluar serta-merta sewaktu beronani tetapi keluar selepas beberapa saat, maka ia masih dianggap sebagai kesan langsung daripada perbuatan tersebut dan menyebabkan puasa terbatal serta wajib diqada selepas Ramadhan berlalu.

Adapun jika seseorang beronani tetapi tidak keluar air mani maka puasanya masih sah. Akan tetapi perbuatan itu tetap haram dan sangat dicela dalam Islam. Ia juga merosakkan pahala puasa kerana bertentangan dengan hikmah dan tujuan ibadah tersebut. Oleh itu, seseorang yang berpuasa perlu menghindari perbuatan ini agar puasanya tidak hanya sah dari segi hukum bahkan diterima oleh Allah SWT dengan sempurna.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 24

message user image