BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz/ustazah, apakah wanita dan anak dara perlu meruang (membersihkan had batin faraj) sekiranya keluar mani secara sengaja kerana onani atau bersetubuh atau tidak sengaja, atau memadai membersihkan had zahir faraj sahaja sebelum mandi wajib?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, Imam al-Nawawi telah menyatakan di dalam kitabnya bahawa :

وَلَوْ أَنْزَلَتْ الْمَرْأَةُ الْمَنِيَّ إلَى فَرْجِهَا فَإِنْ كَانَتْ بِكْرًا لَمْ يَلْزَمْهَا الْغُسْلُ حَتَّى يَخْرُجَ مِنْ فَرْجِهَا لِأَنَّ دَاخِلَ فَرْجِهَا فِي حُكْمِ الْبَاطِنِ وَلِهَذَا لَا يَلْزَمُهَا تَطْهِيرُهُ فِي الِاسْتِنْجَاءِ وَالْغُسْلِ فَأَشْبَهَ إحْلِيلَ الذَّكَرِ وَإِنْ كَانَتْ ثَيِّبًا لَزِمَهَا الْغُسْلُ لِأَنَّهُ يَلْزَمُهَا تَطْهِيرُ دَاخِلِ فَرْجِهَا فِي الِاسْتِنْجَاءِ فَأَشْبَهَ الْعُضْوَ الظَّاهِرَ

Maksudnya : “Jika seorang perempuan itu telah keluar air mani sehingga sampai ke farajnya, maka sekiranya dia seorang anak dara (belum pernah berkahwin dan disetubuhi), tidak wajib ke atasnya untuk mandi sehinggalah air mani tersebut keluar daripada farajnya kerana bahagian dalam farajnya mengambil hukum bahagian anggota dalam (bukan zahir dan nampak). Oleh kerana itu, tidak wajib ke atasnya membersihkan bahagian dalam farajnya ketika beristinja’ dan mandi wajib sepertimana hukum urethra (saluran kencing) zakar. Manakala sekiranya dia seorang thayyib (pernah berkahwin dan disetubuhi), wajib ke atasnya untuk mandi kerana diwajibkan juga ke atasnya untuk membasuh bahagian dalam farajnya ketika beristinja’. Maka ia menyerupai hukum anggota zahir (yang nampak).” 

(al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab)

Oleh itu, bagi perempuan yang telah berkahwin wajib baginya membersihkan had batin faraj apabila keluar air mani, sama ada dengan sebab bersetubuh atau onani, sebelum mandi wajib. Adapun perempuan yang belum berkahwin, tidak wajib baginya membersihkan bahagian had batin faraj, sekadar kawasan zahir faraj sahaja.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 30

message user image