BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Melalui pembacaan saya di laman web ini dalam ruangan soal jawab ibadah, waktu subuh tamat dengan masuknya waktu syuruk. Saya menjadi agak keliru kerana melalui sumber yang lain, waktu subuh adalah dari fajar menyinsing hinggalah terbit matahari. Bukankah waktu matahari terbit ini biasanya berlaku kira-kira 28 minit sebelum waktu syuruk? Bagaimana yang dikategorikan sebagai terbit matahari? Bukankah ianya ketika kita melihat langit sudah mula menjadi cerah? Adakah saya salah, bahawa sebenarnya ia belum lagi dikategorikan sebagai waktu terbit matahari? Contohnya waktu syuruk di tempat saya ialah 7.27 pagi, tetapi apabila saya melihat keluar tingkap, langit sudah mulai cerah kira-kira pukul 7.00 pagi. Jadi bilakah tamat waktu subuh yang sebenar dan perlu menqadha solat subuh sekiranya belum bersolat? Saya sangat berharap mendapat jawapan dari pihak tuan. Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan saudari, waktu subuh berakhir dengan masuknya waktu syuruk sebagaimana yang dipaparkan dalam jadual waktu solat. Waktu Syuruq adalah waktu bermulanya terbit matahari yang menandakan tamatnya waktu Subuh. Harus untuk mengqada’kan solat subuh pada waktu syuruk dan tiada waktu haram solat bagi orang yang tertinggal solat fardhu dan ingin mengqada’kan solat tersebut. Waktu haram solat adalah berkaitan dengan solat sunat sahaja.

kenyataan waktu matahari terbit biasanya berlaku kira-kira 28 minit sebelum syuruk adalah tidak tepat. Namun, tempoh masa 28 minit selepas syuruq itu adalah tempoh masa matahari untuk naik kadar segalah, dan bermula awal solat sunat Dhuha. Kini, tempoh masa ini telah berubah kepada 25 minit setelah berlaku perubahan parameter kedudukan matahari bagi penentuan waktu Subuh pada tahun 2019. Tempoh masa 25 minit ini adalah tempoh masa waktu haram menunaikan solat sunat. 

Contoh hitungan:

Waktu Syuruk : 7:27 pagi ; terbit matahari dan tamat waktu solat Subuh (mula waktu haram solat sunat)

Waktu Dhuha: 7:52 pagi (7:27 pagi + 25 minit) : bermula keharusan waktu solat sunat

 والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 24

message user image