Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan..perjalanan saya dari DUNGUN TERENGGANU-JOHOR BAHARU menaiki bas 11.40 malam.saya tiba di pasir gudang pukul 6.20 pagi.tujuan saya ke Johor atas urusan medical check up di Singapura.sampai dijohor saya bergegas ke rumah kawan yang bekerja di Singapura atas niat hendak tumpang kawan masuk Singapura.saya terpaksa abaikan solat subuh kerana takut ditinggalkan.akhirnya kawan saya memberitahu dia hendak masuk pukul 10 pagi.atas alasan ERP(masalah lalu lintas Singapura)akhirnya saya ikut kawan saya masuk pukul 10 pgi bersama kawan menaiki motorsikal.perjalanan ke klinik panel mengambil masa lebih kurang 45 minit.sampa diklinik pukul 12.35.urusan saya medical selesai pukul 2.40 petang dan terus bergerak balik ke Johor sampai pukul 3.30 petang.sampai dirumah kawan saya terlelap kesan pengambilan darah dan tidak cukup tidur didalam bas.saya tersedar dari tidur pukul 8.16 malam.soalan saya bolehkah saya qada' solat dari subuh hingga ke maghrib dalam 1 masa?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, solat merupakan kewajipan bagi setiap orang Islam. Di samping itu, terdapat ancaman bagi mereka yang lalai dan meninggalkan solat tanpa sebarang uzur syari. Justeru, sesiapa yang disibukkan oleh perkara urusan dunia sehingga membuatkannya lalai dari mengerjakan solat sehingga keluar daripada waktunya, maka mereka itu akan tergolong dalam kategori orang-orang yang paling rugi, ini kerana Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya: Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada orang hari akhirat daripada sekalian amalnya ialah solatnya. Jika solatnya benar (sempurna), maka jika baik solatnya maka dia akan berjaya dan menang, dan jika solatnya kurang (iaitu tidak benar) maka dia akan rugi dan menyesal. (Riwayat al-Tirmizi)
Berbalik kepada soalan, setiap ibadah yang wajib ke atas diri seseorang seperti solat fardu jika ditinggalkan tanpa uzur syarie maka wajib diganti semula dengan segera. Berbeza jika seseorang meninggalkan solat fardu tersebut dengan uzur syarie, maka boleh untuk diganti solat tersebut pada bila-bila waktu. Waktu menggantikan solat fardu adalah terbuka tanpa ada had waktu tertentu, justeru tiada halangan bahkan tuan wajib menggantikan kesemua solat tersebut dengan kadar yang segera. Selagi masih ada solat fardu yang ditinggalkan maka wajib menggantikannya sehingga selesai.
Selain itu, mengikut situasi yang berlaku tuan juga diberikan rukhsah (keringanan) oleh syarak dalam melaksanakan solat secara jamak qasar zohor dan asar agar solat tersebut dapat dilakukan dalam waktunya. Dinasihatkan tuan tidak mengulangi perbuatan yang sama dalam menjaga dan mementingkan solat fardu kerana ia lambang dan tanda keimanan seseorang kepada Allah SWT.
Sekian, terima kasih.