Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam,
Saya ingin bertanya berkaitan permasalahan imam yang terbatal di dalam solat.
(i) Jika imam hanya sempat membaca sebahagian alfatihah, adakah imam ganti perlu mengulang semual bacaan alfatihah tersebut jika solat itu adalah subuh, maghrib atau pun isyak?
(ii) Berkaitan soalan (i) diatas, bagaimana pula keadaanya didalam solat zuhur dan asar?
(iii) Jika imam sudah selesai membaca alfatihah dan terbatal sewaktu membaca surah selepas alfatihah, apa yang imam ganti perlu lakukan samada dlm solat sir atau jar?
(iv) Apakah syarat-syarat untuk seseorang yang boleh menjadi imam ganti? Contohnya boleh kah makmun yang masbuk menjadi imam ganti?
Sekian.
Terima kasih didahulukan.
Wassalam.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
1) Imam pengganti tersebut wajib menyambung bacaan al-Fatihah imam yang diganti itu dengan sempurna. Kemudian barulah dia membaca al-Fatihah bagi dirinya jika belum lagi dibaca (Inilah yang ditarjihkan oleh Imam Ibnu Hajar). Sebaliknya jika dia tidak membaca al-Fatihah yang belum dibaca itu, maka wajiblah dia menambah satu rakaat lagi sebagai ganti setelah selesai solat mereka yang diganti itu.
2) Bagi solat Zuhur dan Asar, makmum yang menggantikan imam hanya perlu membaca menyempurnakan bacaan Fatihahnya.
3) Di dalam situasi ini, bagi solat yang jahar (suara yang kuat) atau sirr (secara senyap) imam pengganti tugasnya seperti imam pertama iaitu meneruskan solatnya seperti biasa dengan menyambung rukun dan bentuk solat tersebut sehingga habis.
4) Tidak ada syarat yang khusus bagi pengganti imam yang pertama. Di samping itu, makmum yang masbuk juga diharuskan menjadi pengganti imam. Dengan erti kata lain, pengganti yang masbuk diwajibkan menjaga peraturan solat imam yang digantinya, supaya solat itu berlaku menurut peraturan solat para jemaah. Maka, dia hendaklah melakukan apa yang dilakukan oleh imam yang diganti itu. Sebagai contoh, apabila dia solat satu rakaat bersama mereka (makmum) dalam Solat Subuh, hendaklah dia membaca qunut untuk mereka, jika rakaat itu rakaat kedua bagi imam yang digantinya.
Sekian, terima kasih.