BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Sudah satu tahun saya membiasakan diri dengan memasukkan jari setengah ruas pertama ke dalam faraj dan dubur bagi tujuan mencuci sisa. 
Setiap kali selepas kencing, apabila saya membasuh bahagian luar saya dapat merasakan lendir tetapi saya tidak ada keputihan. Maka itu, saya memasukkan setengah ruas pertama jari bagi tujuan mencuci lendir tersebut. Setiap kali berak pun saya akan masukkan jari juga ke dubur tetapi tidaklah sampai setengah ruas jari pertama. Saya akan memasukkan jari sehingga tiada bau najis di jari. 

Perkara tersebut saya lakukan apabila saya membaca satu perkongsian dari facebook seperti di bawah.

*WANITA*:
Apabila membasuh kemaluannya, hendaklah ia berdehem dan pastikan dicuci bagian dalamnya dengan memasukan sedikit jari tengah dan diputar-putarkan sewaktu disiram air bersih.

Bukan dengan hanya menyiram air semata-mata, karena hanya dengan menyiram air saja tidak dapat membersihkan bagian dalam kemaluan wanita secara sempurna.

*SANGAT PENTING*:

Begitu juga semasa membasuh air besar (berak) sangat penting untuk memasukan satu jari kedalam dubur. Putarkan beberapa kali supaya najis keluar dari dinding dubur, sambil siram dgn air hingga terasa najis benar2 telah hilang dan bersih.

Sudah benar atau tidak kah cara membersihkan kemaluan kita selama ini? Kalau belum benar, mari bersama2 kita betulkan supaya diri kita bersih dengan cara yang benar. Karena telah dijanjikan neraka bagi mereka yg tidak istibro' (menyucikan diri dengan sempurna baik hadas kecil/hadas besar).

Makna kata, sebelum ni saya ada qada puasa dan saya pun berpuasa di bulan Ramadhan. Jadi apakah hukumnya? Batalkan solat dan puasa saya? Perlukan mandi wajib dan qadha semua solat dan puasa sebelumnya sedangkan saya memang tidak tahu perkara tersebut.


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, perlu difahami bahawa cara yang betul untuk menyucikan dua kemaluan adalah memadai dengan hanya membersihkan bahagian permukaan luarnya sahaja dan tidak perlu sampai ke dalam bahagian kemaluan meskipun dengan hanya memasukkan seruas jari.

Adapun cara yang dinyatakan pada halaman facebook tersebut adalah lebih baik dan boleh diamalkan jika berada dalam keadaan tidak berpuasa. Ini kerana perbuatan memasukkan jari ke dalam kemaluan walaupun hanya sedikit adalah membatalkan puasa kerana ia telah melebihi had zahir kawasan kemaluan yang wajib dibersihkan.

Jika dapat mengingati bilangan hari qada puasa dan puasa di bulan Ramadhan yang telah dilaksanakan dalam keadaan puan melakukan perkara tersebut, maka puan wajib mengqadanya kerana puasa yang telah dilaksanakan terbatal akibat perbuatan memasukkan jari ke dalam kemaluan itu tadi. Namun, solat puan sepanjang tempoh tersebut adalah sah dan tidak perlu diqada.

Adapun sebab untuk seseorang itu wajib mandi (mandi hadis besar) adalah keluar mani dengan syahwat, jimak (bersetubuh) walaupun tidak keluar mani, haid, nifas, wiladah dan mati (kecuali mati syahid). Perbuatan memasukkan jari ke dalam kemaluan bukanlah perkara yang menyebabkan seseorang wajib mandi. Justeru, tidak perlu untuk mandi wajib jika tidak berada dalam keadaan yang telah disebutkan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 21

message user image