Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ada soalan mengenai bayaran fidyah.
1) Situasinya, sebanyak 3 hari puasa ditinggalkan pada tahun 2023, dan puasanya tidak diqada' sehingga bermula Ramadan 2024. Mengikut pengiraan, 3 hari x RM2 = RM6 perlu dibayar, dan fidyah itu sudah dibayar. Tetapi, puasa yang ditinggalkan selama 3 hari tersebut masih tidak diganti sehingga bermula Ramadan 2025. Sekiranya mengikut fidyah yang dibayar secara gandaan, adakah saya perlu membayar RM6 sahaja untuk tahun semasa kerana saya sudah membayar RM6 tahun lalu, atau saya tetap perlu membayar 3 hari x RM2 x 2 tahun = RM12 pada tahun semasa?
2) Bilakah bayaran fidyah perlu dilakukan untuk yang tidak sempat menggantikan puasa sehinggalah Ramadan bermula? Bayar sebelum Ramadan bermula, atau semasa Ramadan?
Terima Kasih sudi menjawab soalan saya.
Jawapan
Jawapan bagi kedua-dua persoalan tersebut adalah seperti berikut:
1) Seseorang yang meninggalkan puasa dan tidak menggantikan puasanya pada tahun semasa dan kemudian memasuki bulan Ramadan yang berikutnya diberi pilihan sama ada menggandakan bayaran fidyahnya atau tidak. Hal ini berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor Bil. 1/2001 pada 16 Januari 2001 yang telah sebulat suara membuat keputusan bahawa:
Harus menggunakan 2 kaedah:
i. Gandakan fidyah dan kifarah mengikut tahun.
ii. Tidak digandakan kadar pembayaran fidyah dan kifarah.
Oleh itu, jika puan sudah membayar fidyah bagi puasa yang ditinggalkan, maka puan telah melunaskan kewajipan fidyah yang telah ditetapkan ke atas diri puan. Namun, adalah digalakkan untuk menggandakan bayaran fidyah mengikut tempoh tahun yang ditinggalkan dan mengikut jenis beras yang dimakan, iaitu RM 2.00 atau RM 4.00 atau RM 6.00.
2) Bayaran fidyah bagi seseorang yang melewatkan puasa hingga bermulanya bulan Ramadhan akan datang boleh mula dilunaskan setelah masuknya bulan Ramadhan tersebut. Dia juga dituntut untuk mengerakan bayaran fidyah supaya segera terlepas dari kewajipan tersebut.
Puan boleh merujuk laman sesawang berikut untuk maklumat lanjut: https://efaraid.mais.gov.my/fidyah/
Sekian, terima kasih.