BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

salam , saya ingin bertanya beberapa kemusykilan...beberapa hari yang lepas (2025) saya mendapat tahu hukum tidak boleh makan dan minum semasa azan subuh berkumandang (sahur ). dan saya pula diberi kefahaman oleh ibu ayah saya, yang mana boleh minum semasa azan subuh selagi mana azan subuh tak habis lagi. dan saya rasa saya pernah melakukan perkara tersebut. cuma permasalahannya, saya tak pasti berapa hari, tahun bila dan berapa jumlah hari. 

adakah khilaf tersebut dimaafkan, kerana saya bukan tidak berpuasa atau sengaja, tetapi kefahaman yang diajar oleh ibu saya. perlukah saya qada' puasa saya? macam mana pula saya nak mengira tahun dan hari? fidyah pula bagaimana? saya berharap khilaf saya tidak memerlukan saya untuk qada' puasa kerana agak sukar dan rumit untuk saya mengingati perkara yang lepas dan memerlukan jangka masa yang lama untuk qada' keseluruhan puasa saya (30 tahun , 2025 umur saya)


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Berdasarkan soalan, sebahagian masyarakat berhujahkan dengan hadis Nabi SAW yang memerintahkan sahabat untuk terus menyelesaikan makanan atau minuman yang berada di tangan mereka, kemudian barulah berpuasa. Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا سَمِعَ أَحَدُكُمُ النِّدَاءَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ، فَلَا يَضَعْهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ

Maksudnya: “Apabila seseorang kamu mendengar seruan (azan) dan bekas berada di tangan kamu, maka janganlah kamu meletaknya (bekas) sehingga sempurna hajatnya daripada itu”

Menurut ulama hadis al-nida’ dalam hadis Abu Hurairah RA yang menyebut tentang menyempurnakan makan dan minum apabila azan berkumandang ialah bermaksud azan pertama subuh iaitu azan Bilal bin Rabah RA. Azan Bilal tersebut dilaungkan sebelum terbitnya fajar bertujuan memberi petanda kepada orang yang sedang berqiamullail untuk pulang ke rumah dan untuk mengejutkan orang yang tidur. Azan kedua iaitu azan ‘Abdullah bin Ummi Maktum barulah tanda masuknya waktu subuh.

(Rujuk Sunan Abi Daud no 2350, 2/304)

Ini adalah berdasarkan kepada riwayat ‘Abdullah bin ʻUmar RA bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ بِلاَلًا يُنَادِي بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam (sebelum terbit fajar sadiq) maka makan dan minumlah sehingga berkumandangnya azan ‘Abdullah bin Ummi Maktum.”

(Riwayat al-Bukhari)

Dari aspek fiqh, maka dalam mazhab al-Syafiʻi Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa:

أن من طلع الفجر وفي فيه طعام فليلفظه ويتم صومه فإن ابتلعه بعد علمه بالفجر بطل صومه وهذا لا خلاف فيه

Maksudnya: Apabila telah masuknya waktu subuh sedangkan di mulutnya masih terdapat makanan, maka hendaklah dia memuntahkannya dan berpuasa. Jika dia telah mengetahui telah masuk waktu subuh namun dia tetap menelan makanan yang ada di mulutnya maka batal puasanya. Dalam masalah ini tidak ada khilaf dalam kalangan ulama.

(Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/311)

Jika seseorang itu mendengar azan subuh berkumandang dan di dalam mulutnya masih terdapat makanan atau minuman maka wajib diluahkan dan berpuasa. Jika ditelan juga makanan atau minuman tersebut maka puasanya pada hari itu terbatal dan wajib qada.

Memandangkan isu ini merupakan perkara yang tidak diketahui oleh orang awam secara umum, maka pegangan salah yang telah lalu adalah dimaafkan dan tidak perlu diqada. Hal ini dinyatakan oleh Imam al-Suyuti:

لِأَنَّ ذَلِكَ يَخْفَى عَلَى الْعَوَامّ

Maksudnya: Kerana ia merupakan perkara yang tersembunyi daripada orang awam (yakni tidak diketahui oleh orang ramai).

Imam al-Suyuti turut memberikan beberapa contoh isu-isu rumit yang tidak diketahui oleh masyarakat secara keseluruhannya atau kejahilan yang dimaafkan. Kata beliau:

وَمِنْ هَذَا الْقَبِيلِ أَعْنِي الَّذِي يُقْبَلُ فِيهِ دَعْوَى الْجَهْلِ مُطْلَقًا لِخَفَائِهِ كَوْنُ التَّنَحْنُحِ مُبْطِلًا لِلصَّلَاةِ، أَوْ كَوْنُ الْقَدْرِ الَّذِي أَتَى بِهِ مِنْ الْكَلَامِ مُحَرَّمًا، أَوْ النَّوْعِ الَّذِي تَنَاوَلَهُ مُفْطِرًا فَالْأَصَحُّ فِي الصُّوَرِ الثَّلَاثِ: عَدَمُ الْبُطْلَانِ

Maksudnya: Dan termasuk dalam kategori ini — yakni perkara yang diterima padanya dakwaan kejahilan secara mutlak kerana ia tersembunyi — ialah seperti mengetahui bahawa berdehem (ketika solat) membatalkan solat, atau mengetahui bahawa kadar percakapan yang diucapkan itu haram, atau jenis makanan/minuman yang diambil itu membatalkan puasa. Maka pendapat yang lebih sahih dalam ketiga-tiga situasi ini ialah: tidak terbatal (ibadah tersebut).

Menjadi kewajipan kita sebagai umat Islam untuk terus menuntut ilmu bagi mengetahui hukum-hakam ibadah seharian kita agar tidak terjerumus dalam kesalahan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 21

message user image